Khazanah labur dalam Cambrian Fund bagi tingkatkan ekosistem semikonduktor Malaysia, sokong PKS teknologi IR4.0 | DagangNews Skip to main content

Khazanah labur dalam Cambrian Fund bagi tingkatkan ekosistem semikonduktor Malaysia, sokong PKS teknologi IR4.0

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Dis - Khazanah Nasional Bhd melabur dalam Cambrian Fund melalui peruntukan awal RM1 bilion menerusi Dana Impak, bagi menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang bertumpu kepada teknologi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), robotik dan penglihatan mesin.

 

Katanya, melalui kerjasama ViTrox Corporation dan Southern Capital Group, dana tersebut menyasar bagi mempertingkatkan ekosistem semikonduktor Malaysia dengan menggalakkan penyertaan tempatan yang lebih besar untuk berkembang dan bersaing di peringkat serantau.

 

Cambrian Fund telah berjaya mengumpul RM100 juta dalam penutupan pertama, dengan Khazanah sebagai pelabur utama.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia merupakan penggerak utama ekonomi negara, menyumbang 40% kepada eksport negara pada tahun 2023.

 

“Dengan semikonduktor sebagai terasnya, Malaysia kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, menguasai 13% daripada bahagian pasaran global untuk pembungkusan, pemasangan, dan ujian. 

 

“Melalui pelaburan Dana Impak daripada Khazanah, Cambrian Fund selaras dengan usaha kerajaan dalam memupuk pertumbuhan yang lebih besar, inovasi, pembangunan bakat tempatan, dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, sambil memperkukuhkan hubungan pasaran antarabangsa dan mencipta peluang untuk syarikat Malaysia berkembang secara global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Khazanah
                    Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

Bagi memperkukuhkan lagi ekosistem semikonduktor Malaysia, Khazanah mengumumkan pelaburan dalam Syntiant Corp, sebuah syarikat ‘edge AI’ yang berpusat di Irvine, California. 

 

Komitmen Syntiant untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI bertaraf dunia di Malaysia adalah manfaat strategik utama pelaburan Khazanah. 

 

Khazanah erkata, pusat ini akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi, memberikan sumbangan kepada hasrat Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor serta mengambil bahagian dalam industri AI global yang sedang berkembang.

 

Selain itu, Amirul berkata, pelaburan tersebut menggariskan komitmen Khazanah untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang maju di Malaysia.

 

“Dengan menyokong pengembangan Syntiant di Malaysia, kami meningkatkan keupayaan teknologi negara sambil mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia. 

 

“Usaha ini selaras dengan keutamaan strategik kami untuk memacu kemajuan ekonomi dan teknologi dalam negara,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Syntiant, Kurt Busch berkata, dengan menubuhkan pusat R&D AI bertaraf dunia di Malaysia, kumpulan bukan sahaja mengembangkan jejaknya tetapi juga melabur dalam ekosistem teknologi yang dinamik di Malaysia. 

 

“Pelaburan ini menandakan saat penting bagi Syntiant ketika kami mengintegrasikan teknologi mikrofon MEMS ke dalam rumusan berasaskan AI kami untuk membawa antaramuka (interface) pintar generasi berikutnya,” katanya. - DagangNews.com