KUALA LUMPUR 27 Dis - Syarikat fotografi bersekutu PUC Bhd, Pictureworks International Holdings Ltd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Nasdaq Amerika Syarikat (AS).
Pictureworks yang dimiliki 27.53% oleh PUC telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS walaupun syarat-syarat seperti harga, bilangan saham yang akan ditawarkan dan jadual waktu untuk tawaran awam tidak diumumkan.
Renaissance Capital, yang menyediakan penyelidikan IPO, menganggarkan Pictureworks boleh mengumpul hasil IPO sehingga AS$8 juta (RM35.85 juta).
Pictureworks yang diasaskan pada tahun 2003 itu menyediakan perkhidmatan pengimejan kepada pelawat di taman tema, dan acara budaya pop di seluruh Malaysia, Singapura, Hong Kong, Macau dan China.
Syarikat itu telah menangkap lebih 30 juta imej, dan mempunyai lebih tiga juta pengguna berdaftar di laman web dan aplikasi mudah alihnya.
Pictureworks juga telah membangunkan sistem dalaman sendiri untuk pratonton kandungan digital bernama "TouchClear" yang telah dipatenkan di AS pada 2018.
Berdasarkan kenyataan pendaftaran yang difailkan, Pictureworks bercadang untuk menggunakan 30% daripada hasil IPO bagi pembangunan dan operasi perniagaan,dan 30% lagi untuk penyelidikan.
Syarikat itu akan memperuntukkan 30% untuk penggabungan dan pengambilalihan, dan baki 10% bagi pemasaran dan modal kerja am.
PUC membeli 33% pegangan saham dalam Pictureworks pada harga RM52.8 juta pada April 2018. Syarikat itu juga mengumumkan cadangan untuk mengambil alih baki 67% pegangan dalam Pictureworks pada harga RM167.5 juta pada Januari 2019 sebelum dibatalkan pada Jun 2020 kerana wabak Covid-19.
Pemegang saham utama lain dalam Picturewoks termasuk Pengarah Urusan Kumpulan PUC, Cheong Chia Chou yang memiliki 35.22%, diikuti oleh Superb Go Sdn Bhd dengan 16.68% kepentingan, Big Tree Global Network Ltd, Marvelous Culture and Film Ltd dan Winfiniti Group Ltd, masing-masing memiliki 4.9%.
Katanya, Big Tree Global Network, Marvelous Culture and Film dan Winfiniti Group menjual saham mereka dalam IPO Pictureworks.
Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY2024), Pictureworks melaporkan kerugian bersih yang lebih tinggi sebanyak AS$642,770 berbanding kerugian bersih sebanyak AS$226,383 dalam tempoh yang sama tahun lepas walaupun hasilnya meningkat 10% kepada AS$1.36 juta.
Cathay Securities merupakan penaja jamin IPO Pictureworks. - DagangNews.com