Tahun Melawat Selangor 2025 sasar RM11.7 bilion jumlah transaksi | DagangNews Skip to main content

Tahun Melawat Selangor 2025 sasar RM11.7 bilion jumlah transaksi

Gambar/FB Tourism Selangor

KUALA LUMPUR 27 Dis - Kerajaan Selangor menyasarkan transaksi bernilai RM11.7 bilion melalui kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, sasaran itu dapat dicapai berikutan perancangan yang teliti terhadap aktiviti, program dan kemudahan pelancongan yang dipertingkatkan.

 

Jelas beliau, Tahun Melawat Selangor 2025 dijangka menarik kedatangan lapan juta pelancong.

 

"Bagi projek-projek kemudahan berkaitan pelancongan, kami telah memastikan pelaksanaannya sejak tahun lalu. Saya melihat pihak berkuasa tempatan dan pemain industri sudah bersedia untuk menampung kemasukan pelancong yang dijangka ke negeri ini.

 

"Dengan kerjasama semua pihak, termasuk ahli dewan undangan negeri, ahli parlimen, pihak berkuasa tempatan dan agensi pelancongan, saya yakin kami dapat mempromosikan kempen ini dengan berkesan dan mencapai atau bahkan melebihi sasaran yang ditetapkan," katanya seperti laporan The Malaysian Reserve.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nourish With Hope, ISP Cares! anjuran ISP Group, di sini hari ini.

 

Mengenai program CSR tersebut, Suee Lim memaklumkan, ia telah memasuki fasa kedua inisiatif ISP Group yang akan diteruskan sehingga 2026, yang melibatkan pengagihan pakej makanan kepada 30 keluarga yang kurang bernasib baik. - DagangNews.com