Affin Bank sekali lagi diiktiraf atas inisiatif pembangunan PKS Malaysia | DagangNews Skip to main content

Affin Bank sekali lagi diiktiraf atas inisiatif pembangunan PKS Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Affin Bank Berhad (Affin Bank) telah menerima pengiktirafan untuk tahun kedua berturut-turut bagi kategori Mudah Alih dalam industri perbankan di Malaysia Technology Excellence Awards (“MTEA”) 2020.

Pengiktirafan itu dianugerahkan ke atas peningkatan terkini aplikasi mudah alih “SMEColony”, aplikasi yang pertama seumpamanya direka untuk pembangunan komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) di Malaysia. 

Dibangunkan sebagai saluran digital bagi PKS untuk akses rujukan dengan cepat, aplikasi mudah alih itu turut menawarkan penyelesaian berdasarkan keadaan pasaran serta pelbagai peluang untuk PKS meluaskan rangkaian mereka. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, matlamat pihaknya adalah untuk melakukan yang terbaik menerusi platform mudah alih berkenaan buat PKS yang merupakan segmen ekonomi signifikan di Malaysia namun, kurang diberikan perhatian sewajarnya dari segi perkhidmatan digital oleh institusi kewangan yang lain.

 

Wan Razly Abdullah Wan Ali
Wan Razly Abdullah Wan Ali

 

“Sebagai komitmen kami dalam mengoptimumkan penggunaan alat mudah alih digital, sumber telah dilaburkan untuk terus mempertingkatkan pengalaman buat pengguna aplikasi SMEColony,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pengiktirafan itu merupakan kemenangan keenam buat Affin Bank bagi aplikasi mudah alih SMEColony, yang telah memenangi anugerah Kolaborasi Digital Terbaik daripada The Asset Triple A Digital Project Awards 2020 dan juga mencatat Rekod Kebangsaan di dalam The Malaysia Book of Records sebagai "Aplikasi Mudah Alih Pertama untuk Pembangunan Komuniti PKS" serta memenangi "Pengalaman Mesra Pelanggan Digital Terbaik bagi Perbankan PKS" daripada Digital CX Awards 2020 oleh The Digital Banker Singapura.

Versi 2 aplikasi mudah alih berkenaan dilengkapi dengan pembangunan teknikal yang terkini untuk meningkatkan ketercapaian, fungsi, antara muka, keselamatan dan ketersediaan. 

Aplikasi SMEColony kini boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery, serta terbuka kepada umum tanpa sebarang kos dan tidak memerlukan pendaftaran. 

Versi 3 aplikasi berkenaan sedang diusahakan untuk memberikan lebih banyak ciri serta antara muka yang lebih baik. 

“Kami berbesar hati atas pengiktirafan yang telah diberikan bagi pelbagai inisiatif yang telah dilakukan dalam industri, termasuklah penciptaan aplikasi mudah alih SMEColony sebagai sebuah platform sumber rujukan untuk komuniti PKS di negara ini. 

 

Lim Kee Yeong
Lim Kee Yeong

 

“Kami juga berharap dapat menerima maklum balas dari komuniti PKS serta peluang untuk memastikan inisiatif rangkuman kewangan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh komuniti PKS, terutamanya dalam tempoh pemulihan ini,” tambah Pengarah Perbankan Perusahaan, Affin Bank, Lim Kee Yeong.

Malaysia Technology Excellence Awards mengiktiraf inisiatif teknologi untuk pelbagai industri, bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat berkembang. - DagangNews.com