Mahasiswa tempatan mencipta rumusan inovatif di GODAMLah! Hackathon anjuran Datasonic | DagangNews Skip to main content

Mahasiswa tempatan mencipta rumusan inovatif di GODAMLah! Hackathon anjuran Datasonic

Pemenang GODAMLah! Hackathon bersama Pengarah Eksekutif Datasonic, Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah (tengah) dan para hakim semasa majlis penutup program di Petaling Jaya
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kebergantungan kepada sosial media dan teknologi maklumat membuka lebih banyak risiko kepada ancaman jenayah siber di laman web seperti kecurian identiti, pancingan data, penipuan ‘deep fake’ dan penipuan dalam talian yang mampu mencuri dan mengeksploitasikan maklumat peribadi mangsa. 

 

Dalam usaha mengakhiri ancaman siber secara tuntas, Datasonic Group Sdn Bhd menganjurkan GODAMLah! Hackathon, salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan bagi memberi peluang kepada mahasiswa universiti tempatan Malaysia membangunkan rumusan yang komprehensif dalam menangani jenayah siber.

 

Pengarah Eksekutif Datasonic, Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah berkata, inisiatif seperti GODAMLah! Hackathon bukan sahaja mampu memupuk semangat inovasi dalam kalangan pelajar tetapi, menjadi satu platform yang meneroka rumusan teknologi bagi menyelesaikan cabaran jenayah siber. 

 

"Setiap projek mempersembahkan ciri yang lebih pintar dan mampan. Di Datasonic, kami melihat hackathon ini lebih daripada sekadar pertandingan, tetapi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

 

"Melalui GODAMLah! kami menyasarkan untuk mewujudkan peluang kepada pelajar meneroka potensi mereka untuk  mencipta rumusan industriyang mampan," katanya. 

 

Acara pertama di tahun 2025 ini turut dihadiri Pengarah Komunikasi Strategik Datasonic, Safia Zuleira Abu Hanifah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: GODAMLah! Hackathon anjuran Datasonic berjaya tarik 557 mahasiswa universiti tempatan, menampilkan rumusan teknologi termaju

 

Dengan kerjasama UniLah Sdn Bhd, sebuah aplikasi mudah alih yang membantu pelajar dalam fasa awal kerjaya, GODAMLah! Hackathon menyasar untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri dengan memberi peluang kepada peserta mencipta rumusan yang berlandaskan teknologi termaju.

 

Hackathon tersebut menyediakan dana permulaan sebanyak RM5,000 kepada juara sebagai pemangkin projek yang akan membantu mereka membangunkan rumusannya sebelum mengkomersialkan produk di pasaran.

 

Selain daripada dana tersebut, Datasonic juga mengendalikan pelbagai bengkel mengenai rumusan teknologi oleh pakar industri yang juga memberi bimbingan kepada peserta. 

 

Daripada 557 mahasiswa yang menyertai hackathon tersebut, hanya 40 pelajar (10 kumpulan) yang layak membentang prototaip produk rumusan digital kepada barisan hakim di Petaling Jaya pada Sabtu. 

 

Selepas beberapa pusingan sesi pembentangan, lima pelajar dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) yang dikenali sebagai kumpulan YesLah, muncul sebagai juara dengan rumusan mereka, SecureLah yang mampu menyelesaikan isu pancingan data terutamanya melalui panggilan palsu. 

 

Ketua kumpulan Yeslah, Jonas Kwan Jun Er berkata, perjalanan mereka untuk mencipta produk ini bermula daripada membaca cerita mangsa jenayah siber yang dilaporkan di media. 

 

Beliau berkata, warga emas yang kurang celik dalam penggunaan digital selalu mangsa kes jenayah siber ini dan cerita mereka yang menyayat hati memberi mereka dorongan bagi mencipta rumusan komprehensif untuk menolong semua pengguna merentasi usia mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian. 

 

“Isu jenayah siber seperti penipuan dalam talian kerap berlaku pada hari ini terutamanya dengan kewujudan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan oleh scammer untuk membuat pelaburan ‘deepfake’, kami berlima berhasrat mencipta produk sebagai satu pendekatan bagi menyelesaikan jenayah siber seperti ini. 

 

“Kami sangat menghargai maklum balas daripada para hakim, terutamanya nasihat industri daripada Datasonic. Kami percaya bimbingan mereka akan membantu kami menyempurnakan produk sebelum dikomersialkan kepada syarikat korporat dan orang ramai,” katanya kepada Dagangnews. 

 

Datasonic
10 kumpulan teratas GODAMLah! Hackathon bersama Datasonic semasa majlis penutup

 

Naib johan yang membawa pulang RM2,000 dimenangi kumpulan Databaes, terdiri daripada pelajar dari Chin Jun Quan dari Universiti Malaya, Woon Yong Jiang (Colin) dari 42K dan Liew Chern Jin (Cody) dari APU. 

 

Mereka menampilkan rumusan platform perkongsian data dengan menggunakan blockchain peribadi bagi membanteras jenayah pelanggaran data dalam laman web.  

 

“Kami tidak sangka dinobatkan sebagai naib johan dalam hackathon ini. Selain daripada dana daripada Datasonic, inisiatif ini mampu mengembangkan pengetahuan kami dalam sektor industri teknologi sambil mendapat pengalaman dan pandangan yang menarik daripada peserta lain.

 

“Dengan dana permulaan ini, kami  menyasarkan produk kami untuk dikomersialkan sebagai penyelesaian perusahaan yang akan membantu perniagaan pelbagai skala,” katanya. 

 

Kumpulan Pisang Biru daripada UiTM Melaka yang juga mewakili kelab UiTM Blockchain Association mendapat tempat ketiga dan dianugerahkan RM1,000 sebagai dana permulaan daripada Datasonic. 

 

Menjelaskan rumusan teknologi kumpulan, Naib Presiden kelab tersebut, Hariz Hakim berkata, produk mereka mampu membantu pengguna mengimbas jemputan kumpulan WhatsApp atau Telegram bagi memastikan tiada unsur penipuan. 

 

"Kami sendiri juga dijemput dalam kumpulan yang mempunyai unsur penipuan dan disebabkan insiden tersebut, kami mencipta produk kami bagi membantu pengguna mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. 

 

"Produk kami menyasar kepada pengguna warga emas untuk membantu mereka mengenal pasti laman web akaun bank palsu dan kami berhasrat untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai," katanya. - DagangNews.com