AME REIT kemuka dokumen Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion kepada SC | DagangNews Skip to main content

AME REIT kemuka dokumen Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion kepada SC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) menerusi AME REIT Sukuk Sdn Bhd mengemukakan maklumat yang diperlukan serta dokumen berkaitan Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, terbitan pertama Sukuk Wakalah di bawah Program Sukuk Wakalah hendaklah dibuat dalam tempoh 90 hari perniagaan dari tarikh penyerahan atau masa yang ditetapkan SC.

 

Katanya, Program Sukuk Wakalah akan melibatkan beberapa terbitan di mana setiap terbitan mungkin terdiri daripada tertian dinilai sahaja atau sukuk yang tidak dinilai atau gabungan kedua-duanya.

 

"Di bawah Program Sukuk Wakalah, penerbit juga mempunyai fleksibiliti untuk menerbitkan Sukuk Wakalah Kelestarian dan/atau Sukuk Wakalah Berkaitan Kemampanan," katanya.

 

Katanya, hasil daripada terbitan Sukuk Wakalah itu akan digunakan untuk tujuan patuh syariah termasuk membiayai aktiviti pelaburan AME REIT, yang terdiri daripada perbelanjaan modal, peningkatan aset dan perbelanjaan pemerolehan dan pembiayaan berkaitan.

 

Ia juga akan digunakan bagi membiayai semula pinjaman patuh syariah sedia ada atau pada masa hadapan serta membiayai modal kerja serta keperluan korporat AME REIT.

 

Maybank Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, pangaturcara utama dan pengurus utama bagi Program Sukuk Wakalah.

 

Maybank Islamic Berhad ialah penasihat syariah bagi Program Sukuk Wakalah. - DagangNews.com