KUALA LUMPUR 10 Jan - BMI, anak syarikat Fitch Solutions, meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% semasa mesyuaratnya pada 22 Januari 2025.
Katanya, inflasi utama menurun sedikit, sejajar dengan ramalannya, mencecah 1.8% tahun ke tahun pada November 2024, turun daripada 1.9% pada Oktober 2024.
"Selain pelaksanaan langkah dasar domestik selanjutnya dan kejutan harga global, inflasi sepatutnya purata 1.8% pada 2024 dan 2.4% pada 2025.
"Kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras menjadi sederhana pada 1.8% untuk tempoh 11 bulan 2024, berada di bawah paras purata Malaysia dalam 10 tahun sebanyak 2%, menunjukkan kadar inflasi masih sederhana untuk BNM mengekalkan OPR," katanya.
Walaupun inflasi kekal terkawal pada 2025, namun, prospeknya masih kekal tertakluk kepada pelaksanaan langkah dasar domestik, yang menjurus kepada penyasaran subsidi menyeluruh untuk petrol RON95 seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2025.
Pada masa yang sama, BMI mengunjurkan bank pusat itu akan mengekalkan OPR pada paras semasa 3% untuk sepanjang tahun ini berdasarkan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan.
"Keyakinan bank terhadap ekonomi kekal utuh, dengan melihat kepada projek pelaburan berterusan yang akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif ekonomi," katanya.
Firma penyelidikan itu percaya keyakinan BNM itu sejajar dengan semakan menaik unjuran pertumbuhan 2024 dan 2025 baru-baru ini, masing-masing sebanyak 5% dan 4.7%.
"Unjuran ini secara amnya sejajar dengan semakan ke atas baru-baru ini ke atas prospek pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar 2024 kepada 4.8% hingga 5.3% (4% hingga 5% peratus sebelum ini) dan ia berada di bahagian atas nilai sebenar sasaran pertumbuhan KDNK benar kerajaan 2025 sebanyak 4% hingga 5%.
"Memandangkan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan ini, bank pusat berkemungkinan boleh mengekalkan kadar faedah tidak berubah untuk mengekalkan ruang dasar," katanya.- DagangNews.com