Perdana Menteri sempurnakan pelancaran Kiosk Sentuhan Madani di Putrajaya | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri sempurnakan pelancaran Kiosk Sentuhan Madani di Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke Kiosk Sentuhan Madani di pusat beli-belah Alamanda selepas majlis pelancaran kiosk tersebut pada 9 Januari 2025.
Oleh Bernama

KUALA LUMPUR 10 Jan - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran Kiosk Sentuhan Madani pertama di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya yang merupakan inisiatif terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

 

Kiosk itu menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan, disediakan melalui enam kiosk agensi kerajaan dan pihak swasta.

 

Kiosk tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan MyDigital ID.

 

Kiosk Sentuhan Madani merupakan inisiatif di bawah Belanjawan 2025 yang diilhamkan Anwar untuk menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat menerusi kiosk digital agensi di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dengan jangka masa operasi yang lebih panjang.

 

 

pmx

 

 

Mengulas mengenai kiosk tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisiatif tersebut, dengan menyediakan tapak pemasangan di premis masing-masing.

 

“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi dengan dengan kerjasama beberapa pihak, kita pasti lokasi seperti pusat belibelah dan tempat orang ramai memang sesuai (untuk pemasangan),” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan, Kiosk Sentuhan Madani kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Februari 2025.- DagangNews.com