KUALA LUMPUR 10 Jan - Taylor’s University memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan, dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional kesihatan berkemahiran dalam menghadapi cabaran kesihatan yang semakin mendesak di Malaysia.
Pelancaran program itu sejajar dengan perkembangan pesat sektor penjagaan kesihatan Malaysia yang dijangka berkembang pada kadar tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13.5% dan mencapai nilai RM217.85 bilion menjelang tahun 2028.
Ia menunjukkan keperluan mendalam terhadap tenaga kerja profesional dalam mengatasi cabaran-cabaran kesihatan kritikal.
Ditawarkan di bawah Pusat Pengajian Biosains, program selama tiga tahun itu memberikan pelajar asas yang kukuh dalam sains kesihatan gunaan.
Kurikulumnya dirancang untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan mendalam, kemahiran praktikal dan keupayaan penyelidikan dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia yang dinamik.
Program berkenaan menawarkan empat pengkhususan utama yang berfokus kepada isu kesihatan awam yang penting, merangkumi bidang genetik, embriologi, neurosains dan pemakanan.
Selain itu, program tersebut juga memanfaatkan teknologi canggih seperti CRISPR, Antara Muka Otak-Komputer (BCI), IVF dan teknologi penderiaan boleh pakai untuk memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran penjagaan kesihatan moden.
Pengarah Program Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan, Dr Lee Sau Har berkata, Taylor’s University mahu melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi yang tidak hanya dapat menangani kekurangan tenaga kerja penjagaan kesihatan di Malaysia, tetapi juga pakar dalam teknologi kesihatan termaju serta mampu memacu inovasi dalam sektor itu.
"Dengan menyepadukan alat-alat teknologi terkini, pelajar kami akan memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi mengatasi cabaran penjagaan kesihatan moden.
"Di samping itu, kurikulum kami juga menggabungkan pengetahuan saintifik dengan kemahiran keusahawanan, yang mampu memberikan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan dan projek penyelidikan tertumpu, seiring dengan pengkhususan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan itu turut dihadiri pakar industri iaitu Pengarah Invest Selangor, Arieff Aaron Abdullah dan Pengasas AGTC Genomics, Profesor Dr Leong Chee Onn.
Arieff berkata, berdasarkan kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, lebih dua juta orang dewasa di Malaysia menghadapi tiga penyakit utama iaitu diabetes, darah tinggi dan kolesterol.
"Data ini menunjukkan kepentingan rumusan berdaya saing yang semakin mendesak dalam penjagaan kesihatan," ujarnya.
Program itu juga diselaraskan dengan dasar-dasar utama negara, termasuk Kertas Putih Kesihatan Malaysia dan Polisi Kebangsaan bagi Kualiti dalam Penjagaan Kesihatan 2022-2026.
Pelajar pertama program berkenaan bakal mendaftar pada April 2025, dengan pengambilan seterusnya pada bulan April dan September setiap tahun. - DagangNews.com