Kerjasama hidrogen Petronas, Petros diharap dapat tepati tarikh akhir 25 Mei 2025 - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerjasama hidrogen Petronas, Petros diharap dapat tepati tarikh akhir 25 Mei 2025 - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama rakan sejawatnya dari Jepun Shigeru Ishiba di perkarangan Bangunan Perdana Putra pada 10 Jan 2025. - Gambar/Bernama
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 10 Jan - Projek kerjasama tenaga hidrogen bersih antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan pihak konsortium Jepun diharap dapat dimudah cara menjelang Mei 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Petros serta anak syarikat Petronas, CCS Ventures Sdn Bhd, dan pihak konsortium Jepun yang terdiri daripada Japan Petroleum Exploration Co Ltd, JGC Holdings Corporation dan Kawasaki Kisen Kaisha Ltd, telah menandatangani perjanjian tapak penyimpanan (SSA) bagi medan minyak terperangkap M3 di luar pesisir Sarawak, pada 26 Februari 2024.

 

SSA itu bukan sahaja membolehkan kajian kebolehlaksanaan tapak penyimpanan CO2 dengan medan minyak terperangkap M3 (Projek M3 CCS) muka dilaksanakan malah juga merangkumi perancangan pembangunan tapak penyimpanan CO2 termasuk terminal daratan dan paip penyaluran, serta penilaian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerjasama tenaga baharu itu dijangka berjaya, khususnya apabila Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan mengenai pembangunan projek itu serta sokongan daripada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba.

 

“Kami berharap dapat memudah cara perkara ini secepat mungkin, agar dapat memenuhi beberapa tarikh akhir, berkemungkinan menjelang Mei apabila kami bertemu sama ada di Tokyo atau di Kuala Lumpur,” kata beliau pada sidang media bersama dengan Ishiba, hari ini lapor Bernama.

 

Ishiba tiba di Malaysia pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Oktober 2024.

 

 

pmx

 

 

Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada Jepun atas hubungan yang sekian lama dengan Petronas dalam bidang gas asli cecair (LNG).

 

Pada masa sama kalangan syarikat Jepun kini terlibat dalam usaha pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon di negara ini melalui dasar tenaga bersih Petronas dan menerusi penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric Power dan Hiroshima Gas.

 

Mengulas mengenai sektor unsur nadir bumi (REE), Anwar berharap dapat melibatkan Jepun dalam pembangunan loji pemprosesan REE.

 

Semasa sidang media bersama itu, Anwar juga menjelaskan mengenai pembentukan Grid Tenaga ASEAN yang melibatkan Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura, serta inisiatif oleh Sarawak bagi kabel tenaga bawah laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.

 

“Ini memerlukan penglibatan dari Jepun, selain negara-negara yang terlibat,” kata beliau.

 

Anwar juga berkata isu perdagangan dan pelaburan menjadi keutamaan teratas semasa lawatan Perdana Menteri Jepun dan delegasinya, serta perkara berkaitan pendidikan tinggi.

 

Sementara itu, Ishiba berkata Jepun bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dalam aspek daya tahan rantaian bekalan.

 

“Bagi memastikan jaminan tenaga dan mencapai penyahkarbonan, kami akan meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti turbin gas dijana amonia, CCS (pemerangkapan dan penyimpanan karbon), hidrogen, dan LNG. Ini termasuk kerjasama di Sarawak,” kata beliau.

 

Ishiba telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.

 

Hubungan Malaysia dengan Jepun semakin berkembang pesat, dengan pengukuhan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

 

Jepun ialah rakan ekonomi utama Malaysia, dengan 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.

 

Projek itu mewakili pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion) dan telah mewujudkan pekerjaan untuk hampir 345,000 orang. - DagangNews.com