Majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Agrobank dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) hari ini.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 April - Agrobank dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan kolaborasi dan mempromosi program pembangunan usahawan untuk merancakkan amalan teknologi industri 4.0 di sektor pertanian negara.
Melalui kerjasama tersebut, Agrobank bakal menyediakan pembiayaan kewangan sebanyak RM20 juta kepada 200 usahawan daripada sektor pertanian yang dikenal pasti oleh MTDC dalam fasa pertama inisitif tersebut.
Setiap usahawan tersebut akan menerima pembiayaan maksimum RM100,000.
Usahawan yang dikenal pasti akan dibimbing, dilatih dan diberi bantuan teknikal menerusi cabang akademi MTDC iaitu Technopreneur Training Academy (TENTRA) untuk latihan keusahawanan dan Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk kemudahan latihan bersama jurulatih berpengalaman bagi setiap latihan dan keperluan solusi i4.0.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama antara Agrobank dan MTDC itu bakal merealisasikan visi i4.0 negara yang mengaplikasi amalam pertanian moden dan pintar dalam sektor pertanian.
Menurutnya, pelbagai bentuk latihan termasuk sesi perkongsian ilmu yang bakal dikendalikan bersama oleh dua entiti itu dijangka merancakkan lagi penggunaan teknologi industri 4.0 khususnya dalam kalangan usahawan yang mengikuti program pembangunan berkenaan.
“Amalan teknologi moden dan pintar bakal menjadi masa depan di landskap sektor pertanian, dan saya berasa gembira kerana akhirnya visi ini akan direalisasikan menerusi kerjasama ini bagi menyokong pembangunan industri pertanian.
“Usahawan akan diperkenalkan kepada penggunaan robot dalam amalan pertanian pintar yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah membantu menguruskan perniagaan yang dengan lebih baik. Pertanian pintar mempunyai potensi besar untuk menyediakan hasil pertanian yang lebih produktif dan secara mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut diwakili Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar dan Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.
Majlis berkenaan turut disaksikan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang dan Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat.
Sementara itu, Datuk Mustapha Buang memberitahu, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama tersebut dan sentiasa komited untuk menyokong peluang perniagaan yang berpotensi untuk membangunkan industri pertanian negara.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran global seperti faktor perubahan cuaca, peningkatan penduduk dan kekurangan sumber, prospek sektor pertanian nampak positif untuk dekad seterusnya. Sektor pertanian atau lebih tepat, sektor agro makanan, akan terus menjadi enjin utama yang menyumbang kepada ekonomi negara.
“Justeru itu, dengan menceburi konsep perniagaan baharu yang melibatkan teknologi, kami yakin inilah cara pertanian harus dijalankan pada masa hadapan and ia harus bermula di sini. Amalan i4.0 dalam perniagaan tani mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diguna pakai dengan teknik yang betul.
“Kami juga yakin, dengan bimbingan sewajarnya, inisiatif ini bakal menarik lebih ramai usahawan muda untuk menceburi bidang pertanian dan menjadikan pertanian sebagai sumber kekayaan baharu dalam beberapa masa akan datang," tambah beliau. - DagangNews.com