94.05 juta saham IPO CBH Engineering terlebih langgan sebanyak 34.21 kali | DagangNews Skip to main content

94.05 juta saham IPO CBH Engineering terlebih langgan sebanyak 34.21 kali

Gambar hiasan dari The Edge
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) CBH Engineering Holdings Bhd sebanyak 94.05 juta saham pada 28 sen untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 34.21 kali.

 


Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE itu berkata, mereka menerima sebanyak 24,992 pemohon bagi 3.31 juta saham dengan nilai RM927.2 juta daripada orang awam Malaysia.

 

Daripada jumlah IPO, sebanyak 12,175 permohonan untuk 1.28 juta saham diterima bagi bahagian Bumiputera, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 26.13 kali.

 

“Kami menerima sebanyak 12,817 permohonan bagi 2.04 juta saham daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 42.29 kali.

 

"Sementara itu, 28.42 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

“Ejen penempatan tunggal itu mengesahkan 47.02 juta saham terbitan dan 188.09 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah dikeluarkan sepenuhnya,” katanya.

 

Selanjutnya, ejen peletakan tunggal itu mengesahkan 128.52 juta saham melalui peletakan persendirian kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.

 

CBH Engineering dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 16 Januari 2025.

 

CBH Engineering terutamanya menyediakan perkhidmatan kejuruteraan M&E, termasuk reka bentuk, pemasangan, ujian dan penyelenggaraan sistem elektrik merentasi pelbagai tahap voltan, serta sistem mekanikal seperti penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, paip dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Syarikat itu mempunyai portfolio pelbagai projek, termasuk pencawang, hartanah komersial seperti pusat data, pusat beli-belah, hotel dan menara pejabat, serta hartanah perindustrian seperti kilang pembuatan dan gudang, dan hartanah kediaman bertingkat.

 

Pada harga IPO 28 sen, CBH Engineering akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM526.65 juta selepas penyenaraian, dengan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.88 bilion saham. 

 

IPO itu akan menilai syarikat itu 15.91 kali ganda pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (FY23).

 

Mercury Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO  - DagangNews.com