44% syarikat semikonduktor optimis terhadap prestasi perniagaan pada 1Q2025 - MSIA   | DagangNews Skip to main content

44% syarikat semikonduktor optimis terhadap prestasi perniagaan pada 1Q2025 - MSIA  

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan - 44% syarikat semikonduktor optimis terhadap prestasi perniagaannya pada suku pertama 2025 (1Q2025), kata Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

 

Menurut laporan suku tahunan persatuan, unjuran tersebut menunjukkan keyakinan yang rendah sedikit berbanding suku sebelumnya, iaitu 53% pada 3Q2024 dan 60% pada 2Q2024.

 

"Bagi 2025, 66% syarikat menunjukkan keyakinan dalam tinjauan keseluruhan, sama seperti suku sebelumnya. 

 

"Walaupun terdapat ketidakpastian dalam jangka pendek, syarikat lebih optimistis,” kata MSIA dalam satu kenyataan, hari ini.


Laporan itu juga menunjukkan 37% syarikat melaporkan prestasi perniagaan yang lebih baik pada 4Q2024, berbanding 3Q2024.

 

Selain itu, 72% syarikat mengupah jurutera dan juruteknik pada 1Q2025, menunjukkan momentum pengambilan pekerja yang berterusan daripada suku sebelumnya.


Mengenai kesan dasar semikonduktor Amerika Syarikat-China, MSIA berkata, 57% syarikat berpendapat Malaysia dapat memanfaatkan di tengah-tengah peningkatan perang cip AS-China.

 

Persatuan itu menekankan keperluan Malaysia mempelbagaikan pasaran semikonduktornya, rantai bekalannya dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bagi kekal berdaya saing dan berdaya tahan, memandangkan ketegangan geopolitik yang berterusan.

 

Mengulas keputusan laporan 4Q2024, presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, 2024 merupakan tahun penting, menekankan pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei.

 

“Inisiatif strategik ini menggariskan komitmen Malaysia untuk terus mendahului persaingan global, dengan tumpuan kepada keupayaan dan kepakaran kami dalam bidang utama seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), peralatan semikonduktor dan pembungkusan termaju,” katanya.

 

Wong juga berkata, sokongan proaktif MSIA untuk NSS melalui inisiatif seperti Kluster Peralatan Teknologi Termaju MSIA (Matec), usaha yang dipacu industri bagi meningkatkan kelebihan teknologi Malaysia.

 

Beliau juga berkata, hasil laporan menunjukkan 2025 akan membawa cabaran besar bagi industri semikonduktor Malaysia, termasuk kekurangan bakat, persaingan pasaran, dan tekanan geopolitik luaran.

 

“Walaupun sektor semikonduktor menghadapi masalah ini, industri tetap teguh dan bersedia, memanfaatkan inovasi, kerjasama dan perancangan strategik, untuk mengubah cabaran menjadi peluang dan mengekalkan kelebihan daya saingnya,” katanya. - DagangNews.com