Kerajaan tidak pernah sembunyikan Titah Adendum benarkan Najib jalani tahanan rumah - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tidak pernah sembunyikan Titah Adendum benarkan Najib jalani tahanan rumah - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR 8 Jan - Kerajaan tidak pernah menyembunyikan Titah Adendum yang dipercayai dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikatakan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mewakili kerajaan berkata, beliau sendiri tidak pernah dimaklumkan atau menerima dokumen tersebut.

 

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

 

Muhammad Shafee berkata, surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

 

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

 

Najib mendakwa, Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

 

Fahmi dalam pada itu berkata, kerajaan terikat dengan prinsip subjudis dan akan menyerahkan kes bekas perdana menteri tersebut kepada proses kehakiman.

 

"Kami mengambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi, jadi kami perlu mempertimbangkan pandangan dan nasihat peguam negara mengenai beberapa perkara bagi mengelakkan prejudis dalam kes ini," katanya seperti laporan Reuters.

 

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

 

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - DagangNews.com