KUALA LUMPUR 9 Jan - Kenanga Research menjangkakan kadar penyewaan ruang pejabat lama terus berdepan tekanan akibat persaingan sengit daripada pertumbuhan bangunan pejabat baharu dengan persekitaran yang lebih menarik.
Katanya, pada 2024, permintaan terhadap ruang pejabat baharu di kawasan Lembah Klang adalah positif dengan penyewa lebih tertumpu kepada kualiti.
"Kami menjangkakan bangunan lama terus berdepan tekanan untuk mendapatkan penyewa pada masa hadapan.
"Bagaimanapun, kami percaya pejabat di pinggir Kuala Lumpur dan Selangor berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding dengan bandar raya kerana ia ditawarkan pada harga lebih berpatutan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, hotel di Lembah Klang juga menyaksikan pemulihan yang ketara dalam beberapa suku terakhir.
Katanya, memandangkan peningkatan peruntukan pelancongan dalam belanjawan negara selain mengunjurkan ketibaan sejumlah 27.7 juta pelancong di Malaysia (peningkatan 15% daripada 2024) dan menjangkakan pertumbuhan yang lebih kukuh daripada perniagaan perhotelan.
Kenanga Research menurunkan penarafan amanah pelaburan hartanah (REIT) kepada "neutral" daripada "overweight" tetapi memilih Sunway REIT sebagai pilihan utama kerana pemangkin pendapatan seperti pembukaan sayap Oasis Sunway Pyramid di mana penyewa membayar kadar yang jauh lebih tinggi dan tambahan 200,000 kaki persegi ruang di Sunway Carnival Mall akan ditambah pada separuh pertama tahun ini.
"Kami juga positif terhadap Pavilion REIT kerana, Pavilion KL, terus menunjukkan daya tahan dalam mengekalkan jejak yang kukuh walaupun berdepan saingan pusat beli-belah TRX," katanya.- DagangNews.com