Kerajaan jimat RM7 bilion setahun menerusi penyasaran subsidi diesel, 80% lebih daripada jangkaan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan jimat RM7 bilion setahun menerusi penyasaran subsidi diesel, 80% lebih daripada jangkaan

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kerajaan menganggarkan dapat menjimatkan perbelanjaan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion setahun daripada subsidi diesel yang disasarkan, sekurang-kurangnya 80% lebih daripada jangkaan.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan diyakini memperoleh kira-kira RM4 bilion penjimatan setahun daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Julai 2024.

 

“Kerajaan dapat berjimat sebanyak RM600 juta sebulan. Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan berfungsi dengan berkesan,” katanya kepada pemberita semasa Forum Ekonomi Malaysia 2025, hari ini.

 

Beliau berkata, kerajaan berhati-hati dalam pelancaran sistem itu bagi memastikan keberkesanannya dan mengelakkan kesan yang tidak diingini.

 

MK2
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

“Kami memerlukan masa untuk memastikan sistem itu kukuh dan dilaksanakan dengan baik. Kami kini melihat hasil yang lebih baik kerana berjaya menangani ketidakcekapan dalam sistem sebelum ini,” katanya.

 

Amir Hamzah berkata, mekanisme subsidi baharu tidak menimbulkan tekanan inflasi yang tidak wajar.

 

“Ini penting kerana sebarang keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengambil kira kesan ekonomi yang lebih luas. Kami berjaya mengelak tekanan inflasi, yang merupakan kejayaan untuk semua pihak,” katanya.

 

Kerajaan menyasarkan subsidi diesel bermula pertengahan tahun lalu bagi mengurangkan beban kewangan orang ramai dan menangani isu seperti penyeludupan bahan api.

 

Untuk mengurangkan kesan rasionalisasi terhadap rakyat berpendapatan rendah, kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar dan bantuan tunai untuk individu dan sektor yang layak.- DagangNews.com