Kontrak baharu di Pulau Pinang kukuhkan aliran pendapatan berulang ITMAX, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu di Pulau Pinang kukuhkan aliran pendapatan berulang ITMAX, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Kemenangan kontrak ITMAX System Bhd di Pulau Pinang baru-baru ini membuka jalan baharu bagi mendapatkan lebih banyak kontrak CCTV pada tahun-tahun akan datang, yang akan mengukuhkan aliran pendapatan berulang kumpulan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, syarikat itu mempunyai jumlah buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM1.5 bilion dan diiktiraf secara progresif sehingga Julai 2039.

 

Pada akhir suku ketiga 2024, buku tender ITMAX berjumlah kira-kira RM300 juta hingga RM400 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM4.71 sesaham.

 

Bulan lepas, ITMAX memperoleh kontrak kedua di Pulau Pinang, bernilai RM11.8 juta.

 

Kontrak itu adalah untuk menaik taraf dan menyelenggara 513 CCTV untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 13 Januari 2025 hingga 12 September 2030.

 

Di bawah kontrak kedua itu, kumpulan itu akan memanfaatkan infrastruktur sedia ada dan rangkaian komunikasi, menghasilkan keperluan perbelanjaan modal yang minimum, kata HLIB Research.

 

Pada Ogos 2024, ITMAX dianugerahkan kontrak pertama oleh MBPP untuk pemasangan 48 CCTV berkuasa kecerdasan buatan (AI) baharu dan pusat operasi bersepadu pintar.

 

“Perkembangan ini mengukuhkan kehadiran ITMAX dalam transformasi bandar pintar Pulau Pinang, memanfaatkan infrastruktur sedia ada untuk meminimumkan kos dan menyepadukan ciri AI.

 

"Dengan Pulau Pinang masih di peringkat awal transformasi bandar pintarnya, kontrak baharu ini memberikan ITMAX tapak strategik untuk menawarkan rangkaian penuh bandar pintar dan rumusan AI,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran, Pulau Pinang sahaja memerlukan kira-kira 10,000 CCTV untuk mencapai liputan penuh, memberikan peluang pertumbuhan yang ketara untuk ITMAX.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai pendedahan langsung yang unik kepada tema AI, terutamanya pada peringkat aplikasi.

 

“Kami percaya penyedia sistem bersepadu dan rumusan bandar pintar buatan sendiri ini merupakan kes yang menarik memandangkan potensi pertumbuhannya yang berbilang tahun di belakang buku pesanan dan tender yang kukuh," katanya. - DagangNews.com