Permintaan sektor perindustrian dikhuatiri terjejas oleh ketegangan geopolitik, ketidaktentuan tarif AS - BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Permintaan sektor perindustrian dikhuatiri terjejas oleh ketegangan geopolitik, ketidaktentuan tarif AS - BIMB Securities

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Faktor luaran termasuk ketidaktentuan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan ketegangan geopolitik boleh menimbulkan cabaran kepada sektor perindustrian tempatan, mewujudkan turun naik jangka pendek, kata BIMB Securities.

 

Katanya, walaupun terdapat peluang pertumbuhan, risiko makroekonomi dan dasar perdagangan yang lebih luas mungkin mempengaruhi prestasi sektor tersebut.

 

Firma penyelidikan itu, yang mengekalkan saranan "neutral" ke atas sektor itu, mempunyai panggilan "beli" ke atas Press Metal Aluminium Holdings Bhd, OM Holdings Ltd dan Wellcall Holdings Bhd.

 

BIMB Securities juga menetapkan saranan “tahan” ke atas Scientex Bhd dan Hextar Global Bhd dan panggilan “jual” ke atas Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, PMB Technology Bhd dan Ann Joo Resources Bhd dan panggilan "beli" terhadap Press Metal.

 

"Kami  optimis terhadap aluminium, disokong oleh jangkaan pemulihan dalam permintaan, didorong oleh lantunan semula dalam purata harga jualan dan peningkatan kesedaran global terhadap industri mampan dan rendah karbon," kata firma penyelidikan itu.

 

Katanya, Press Metal bakal mendapat manfaat daripada kenaikan harga aluminium global, penghapusan rebat cukai 13% ke atas eksport aluminium oleh China dan peningkatan permintaan untuk aluminium bukan China.

 

"Syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi kesan limpahan akibat ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meningkat, apabila pembeli mempelbagaikan rantaian bekalan.

 

"Walaupun risiko seperti potensi kekurangan bekalan dalam alumina dan kenaikan harga kekal, pengaturan usaha sama Press Metal dan inisiatif penyumberan strategik dijangka membantu mengurangkan cabaran ini," kata firma penyelidikan itu.

 

Memandang ke hadapan, BIMB Securities mengunjurkan pendapatanPress Metal untuk 2024 dan 2025 dijangka melebihi anggran tahunannya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, Rizab Persekutuan AS telah mengunjurkan dua pemotongan kadar tahun ini berikutan inflasi yang tinggi dan ini dijangka memberi kesan positif kepada permintaan bagi logam dan pembuatan perindustrian.

 

"Sektor keluli bersedia untuk pertumbuhan, didorong oleh projek infrastruktur utama seperti fasa projek Transit Aliran Ringan 3 dank Jalan Penghubung Sabah-Sarawak atau Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) disokong dengan permintaan kukuh daripada sektor hartanah, khususnya projek kediaman dan taman perindustrian.

 

"Projek yang digariskan dalam Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (Pikas 2030) dan Belanjawan Negara 2025 juga dijangka meningkatkan penggunaan keluli domestik, terutamanya untuk produk keluli panjang seperti bar tetulang dan keluli struktur serta keluli rata untuk pembinaan selesai.

 

"Sementara itu, kami menjangkakan risiko penurunan berterusan walaupun pelaburan domestik pulih, dengan peningkatan kos untuk bahan mentah seperti bijih besi serta gangguan rantaian bekalan global yang bakal menimbulkan cabaran dalam sektor perindustrian," katanya.  - DagangNews.com