KUALA LUMPUR 9 Jan - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menyumbang kira-kira RM125.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun, dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, zon tersebut berpotensi bersaing dengan Lembah Klang sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dalam dekad yang akan datang.
"Anggaran awal menunjukkan sumbangan JS-SEZ kepada KDNK negara adalah sekitar RM126.16 bilion setiap tahun.
"Ia boleh bersaing dengan Lembah Klang dalam tempoh sepuluh tahun," katanya ketika menjadi ahli panel Fireside Chat bertajuk From Made in Malaysia to Made by Malaysia bersempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini, hari ini, seperti laporan Malay Mail.
Rafizi berkata, JS-SEZ menawarkan cabaran dan peluang tersendiri.
"Setiap ekonomi, Johor di Malaysia dan Singapura, mempunyai elemen-elemen pelengkap yang dapat menawarkan nilai yang sangat baik kepada pelabur di seluruh dunia, terutamanya apabila syarikat-syarikat global sedang mencari cara untuk menguruskan risiko geopolitik mereka.
"Terdapat kebimbangan yang besar tentang gangguan rantaian bekalan dan lokasi operasi adalah penting untuk membina rantaian bekalan yang lebih kukuh," ujarnya.
JS-SEZ dijangka menjadi kuasa ekonomi serantau, merangsang pelaburan, mencipta pekerjaan dan menggalakkan pembangunan mampan.
Matlamat utamanya adalah untuk menarik pelaburan asing dan tempatan, meningkatkan kapasiti industri, kemudahan dan daya cipta teknologi sambil menggalakkan kelestarian.
Zon itu yang terletak di lokasi strategik berhampiran Singapura, menjadi tarikan sebagai pusat pelaburan dan inovasi.
Johor berhasrat menjadi hub serantau untuk sektor pembuatan, logistik, teknologi dan pelancongan.
JS-SEZ merangkumi kawasan-kawasan strategik di seluruh Johor, dengan pembangunan utama tertumpu berhampiran sempadan Johor-Singapura. - DagangNews.com