KUALA LUMPUR 9 Jan - Pengeluar sarang burung MYMBN Bhd, kini berdepan tekanan kewangan dan operasi berikutan penangguhan eksport sarang burungnya ke China.
Penangguhan eksport sementara oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) itu berkuat kuasa pada 25 Disember 2024, susulan kebimbangan mengenai penularan penyakit Newcastle (ND) di Malaysia.
Awal bulan ini, MYMBN gagal memenuhi pesanan bernilai kira-kira RM2.5 juta akibat penggantungan sementara berkenaan.
Syarikat itu mengakui, situasi tersebut telah mengganggu rantaian bekalan, operasi, serta aliran pendapatan yang bergantung kepada pasaran China, yang selama ini menjadi sumber utama perniagaan eksportnya.
"Syarikat masih menanggung kos overhead bulanan sekitar RM92,000 walaupun eksport dihentikan," kata MYMBN dalam satu kenyataan.
Walaupun MYMBN tidak dapat sepenuhnya mengukur kesan kewangan penangguhan pada peringkat ini, syarikat itu terus menanggung kos berterusan yang memberi kesan kepada keuntungan mereka.
Penangguhan tersebut dicetuskan susulan laporan penularan ND di Malaysia, yang turut memberi kesan kepada ayam dan itik antara Mac hingga Jun 2024.
Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) menggesa penangguhan berkenaan bagi mengelakkan kemungkinan penularan ND melalui produk sarang burung.
Namun, DVS Malaysia telah menjelaskan bahawa tiada kes ND yang dikesan di kemudahan atau produk MYMBN. - DagangNews.com