KUALA LUMPUR 9 Jan - Tune Protect Group Bhd (Tune Protect) baru-baru ini menganjurkan Karnival Olahraga Kanak-Kanak, menghimpunkan pelajar dari tujuh buah sekolah di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan, untuk memperkasa komuniti dan menggalakkan pertumbuhan melalui sukan.
Selain itu, karnival tersebut meraikan semangat berpasukan, ketahanan dan pembangunan menyeluruh dalam kalangan atlet muda.
Dianjurkan bersama Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, program berkenaan adalah satu daripada komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tune Protect.
Sekolah itu dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson kerana rekod cemerlang dalam kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan negeri, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk acara tersebut.
Sejak Oktober 2023, Tune Protect melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menaik taraf kemudahan sekolah berkenaan termasuk menyumbangkan komputer riba, komputer peribadi dan peralatan sukan seperti lubang untuk lompat jauh.
Pusat sumber digital sekolah turut dibaik pulih dengan kerja-kerja mengecat, penukaran jubin dan mural yang berwarna-warni.
Aktiviti gotong-royong juga dianjurkan di samping penambahbaikan di padang sekolah.
Melalui inisiatif itu, sekolah kini lebih bersedia untuk memastikan pelajar cemerlang dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan negeri serta menjadi tuan rumah bagi acara yang memberi inspirasi seperti Karnival Olahraga Kanak-Kanak.
Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, pihaknya berbangga dapat bersama-sama SK Kampung Baru Si Rusa dalam perjalanan cemerlang mereka di bidang sukan.
"Kami komited untuk menyerlahkan potensi pelajar dalam bidang sukan menerusi penyediaan sumber dan pelbagai kemudahan di sekolah ini.
"Karnival ini adalah kemuncak kepada kerjasama selama setahun yang telah berlangsung. Kami teruja kerana kegembiraan karnival ini turut dirasai oleh pelajar dari enam sekolah lain di Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, dengan memupuk disiplin, ketahanan dan semangat berpasukan, Tune Protect berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk mencapai kecemerlangan sukan serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Karnival tersebut menawarkan pelbagai aktiviti untuk atlet muda, termasuk lari pecut, larian berhalangan, lontar peluru dan larian ketahanan.
Aktiviti-aktiviti itu mendorong pelajar untuk meneroka potensi dan kebolehan mereka, diwarnai sorakan semangat dari pelajar, guru, ibu bapa dan sukarelawan yang mencipta suasana yang meriah.
Karnival berkenaan bertujuan memberi persaingan sihat sambil menggalakkan nilai-nilai seperti ketabahan.
Ia juga membolehkan pelajar untuk menjalin hubungan, membina keyakinan dan menyertai inisiatif yang diterajui oleh komuniti. - DagangNews.com