Tous les Jours masuk pasaran Malaysia, sasar lima cawangan menjelang akhir 2025 | DagangNews Skip to main content

Tous les Jours masuk pasaran Malaysia, sasar lima cawangan menjelang akhir 2025

Cawangan Tous les Jours pertama dijangka dibuka di Sunway Pyramid Mall pada suku kedua tahun ini, sementara cawangan kedua akan dibuka di Sunway Velocity Mall. Gambar/CJ Newsroom

KUALA LUMPUR 9 Jan - Tous les Jours, jenama utama syarikat makanan terkemuka Korea Selatan, CJ Foodville, merancang untuk membuka lima cawangan di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

 

Francais Tous les Jours di Malaysia diuruskan oleh SEH Food, iaitu sebahagian daripada Stream Empire Holdings.

 

Pengurus Besar SEH Food, Ho Soo Ling berkata, cawangan pertama dijangka dibuka di Sunway Pyramid Mall menjelang suku kedua tahun ini, sementara cawangan kedua akan dibuka di Sunway Velocity Mall.

 

"Lokasi cawangan ketiga sudah hampir pasti dan kami sedang mencari lokasi untuk cawangan keempat dan kelima yang masih dalam perbincangan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Francais Utama di sini, seperti laporan Bernama.

 

Mengenai prospek sektor makanan dan minuman di Malaysia, Soo Ling menjangkakan industri berkenaan akan terus berkembang kerana rakyat Malaysia sanggup berbelanja untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

 

Beliau berkata, syarikat telah menjalankan banyak kajian dan percaya sektor itu, terutamanya kafe roti, boleh menjadi trend dalam kalangan golongan muda.

 

Sementara itu, Ketua Wilayah CJ Foodville untuk Asia Tenggara, Jeong Soo Won berkata, selepas mengukuhkan kehadirannya di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Singapura, syarikat itu melihat Malaysia sebagai negara seterusnya untuk pengembangan perniagaan mereka.

 

"Pelanggan Malaysia mempunyai gaya hidup yang mirip dengan pelanggan Korea.

 

"Ditambah dengan gelombang budaya Korea yang diminati ramai penduduk Malaysia, saya memutuskan untuk membawa jenama ini ke negara ini," ujarnya.

 

Beliau berkata, CJ Foodville juga berhasrat mendapatkan sijil halal sebelum pembukaan cawangan Tous les Jours yang pertama.

 

"Di Indonesia, kami sudah menerima sijil halal sejak lima tahun lalu. Kami mahu memohon sijil halal di Malaysia sebelum pembukaan Tous les Jours," jelasnya.

 

Tous les Jours memiliki lebih 1,300 cawangan di Korea dan 550 cawangan global di Amerika Syarikat, Kanada, China, Mongolia dan beberapa negara ASEAN. - DagangNews.com