OCBC Malaysia beri sokongan kepada perniagaan yang ingin memanfaatkan peluang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura | DagangNews Skip to main content

OCBC Malaysia beri sokongan kepada perniagaan yang ingin memanfaatkan peluang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jan - OCBC Bank (Malaysia) Bhd komited untuk menyokong perniagaan dan individu dalam memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, bank itu telah membangunkan satu set perkhidmatan kewangan dan rumusan menyeluruh yang khusus disesuaikan dengan JS-SEZ. 

 

Beliau berkata, tawaran itu bertujuan memudahkan kemasukan dan pengembangan pasaran sambil memupuk ekosistem yang berkembang maju untuk perniagaan.

 

Katanya, bagi individu bukan pemastautin yang menetap di Malaysia, OCBC memperkenalkan laman web baharu yang menyediakan maklumat mengenai pilihan perbankan dan pembiayaan tempatan, termasuk gadai janji, perkhidmatan pengurusan kekayaan, dan faedah tambahan seperti insurans peribadi dan diskaun ke atas insurans motor dan perjalanan.

 

"Kami teruja dengan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan Johor sebagai hab ekonomi. JS-SEZ berpotensi menarik modal antarabangsa yang ketara melalui pelbagai inisiatif yang telah diumumkan," katanya.

 

Terdahulu, Malaysia dan Singapura merasmikan perjanjian penubuhan JS-SEZ, yang menggariskan inisiatif yang direka untuk meningkatkan ketersambungan rentas sempadan, menyelaraskan proses kastam dan memupuk kerjasama ekonomi.

 

Antara perkara penting termasuk pelepasan kod QR tanpa pasport di pusat pemeriksaan Singapura, penubuhan Pusat Pemudahcara Invest Malaysia — Johor (IMFC-J), dan pakej insentif cukai untuk zon itu.

 

Chor Sen berkata, rangkaian kumpulan OCBC di seluruh ASEAN dan China, termasuk ibu pejabatnya di Singapura, meletakkannya untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada perniagaan yang ingin berkembang di rantau itu.

 

"Kami berharap untuk melihat lebih ramai individu dan perniagaan mendapat manfaat daripada skim yang berpandangan ke hadapan dan mudah yang telah kami laksanakan untuk menyokong korporat, PKS, dan individu yang ingin memulakan, mengembangkan, atau mempercepatkan kehadiran dalam dan melalui JS-SEZ," katanya. 

 

Beliau juga menekankan dedikasi bank itu untuk memacu matlamat peralihan tenaga Malaysia dan memupuk inovasi sambil menegakkan standard tadbir urus dan kecemerlangan operasi. - DagangNews.com