AirAsia Academy, Carsome jalin kerjasama bangunkan kemahiran teknologi untuk wanita kurang bernasib baik | DagangNews Skip to main content

AirAsia Academy, Carsome jalin kerjasama bangunkan kemahiran teknologi untuk wanita kurang bernasib baik

AirAsia Academy melancarkan kempen #RatuTech untuk memperkasakan wanita untuk memperoleh kemahiran teknologi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jun - AirAsia Academy menjalinkan kerjasama dengan syarikat unikorn teknologi dan automotif, Carsome membangunkan kemahiran teknologi boleh dipasarkan untuk golongan wanita kurang berkemampuan melalui kempen #RatuTech. 

 

Kempen itu bukan sahaja menggalakkan para wanita untuk mengasah kemahiran yang boleh dipasarkan, malah mengembangkan peluang ekonomi mereka, mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, memperkukuh jaringan perhubungan, berkembang secara individu dan memperoleh manfaat melalui teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, visi AirAsia Academy dalam menjadikan pendidikan mudah diakses, mampu milik dan inklusif adalah sejajar dengan misi Capital A untuk menawarkan perkhidmatan dan mendemokrasikan perkhidmatan kepada semua golongan. 

 

"Kami berbesar hati kerana pemain industri teknologi terkemuka di Malaysia seperti Carsome, telah meletakkan kepercayaan kepada platform pendidikan teknologi digital kami serta menyokong usaha dalam mendidik dan membudayakan generasi celik teknologi dalam kalangan wanita generasi baharu dan pada masa sama, mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng pula berkata, syarikat memahami terdapat kekurangan bakat teknologi dalam memenuhi jurang permintaan pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

 

"Justeru, kami berbesar hati untuk menyokong AirAsia Academy dalam memperluaskan bakat digital mereka dengan membantu wanita-wanita ini mengakses pendidikan, latihan atau jaringan perhubungan yang dapat membantu mereka menceburi karier dalam industri teknologi. 

 

"Kami sedang giat meneroka peluang pekerjaan untuk para graduan RatuTech kerana kami yakin mereka akan lebih berdaya maju dan cekap selepas mengikuti kursus digital di AirAsia Academy," katanya.

 

 

airasia
Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Akademi Carsome, Teoh Jiun Ee, Tan Sri Tony Fernandes dan Eric Cheng

 

 

Presiden (Ventures) Capital A dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Academy, Aireen Omar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Carsome sudi menyokong inisiatif itu untuk menangani kekurangan wanita dalam industri teknologi dan yakin dapat memberikan nilai tambahan di syarikat mereka pada masa hadapan. 

 

"Kami terinspirasi oleh para wanita yang telah mengikuti kursus-kursus kami di bawah kempen ini yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang. 

 

"Antara peserta kami adalah seorang ibu yang juga seorang suri rumah telah berjaya mengembangkan perniagaannya serta menceburi karier baharu untuk membiayai perniagaannya, termasuk pelajar dengan masalah pendengaran yang berusaha meningkatkan kemahiran teknologi digital untuk mengatasi cabaran fizikal dihadapinya dan ramai lagi," katanya.

 

Mereka adalah sebahagian daripada 200 wanita daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dan golongan B40, yang mengikuti kursus asas digital termasuk Analisis Data, Pemasaran Digital, Keselamatan Siber, Infrastruktur Pengkomputeran Awan dan Kejuruteraan Perisian, untuk menjadi penganalisis data, pemasar digital, pakar dalam teknologi awan serta pakar keselamatan siber. 

 

Beberapa penaja lain termasuklah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), Google Cloud serta Yayasan Peneraju. - DagangNews.com