AirAsia perlu RM7.4 bilion untuk keluar daripada PN17, mungkin laksana langkah lebih ekstrem - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

AirAsia perlu RM7.4 bilion untuk keluar daripada PN17, mungkin laksana langkah lebih ekstrem - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - AirAsia Group Bhd. dijangka memerlukan sehingga RM7.39 bilion bagi meningkatkan dana pemegang sahamnya sekali gus melangkah keluar daripada klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17). 

 

Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, sasaran itu dilihat sukar untuk dicapai memandangkan kedudukan dana pemegang saham yang negatif pada RM3.15 bilion setakat 30 September 2021. 

 

Setakat ini, katanya, hanya RM193 juta atau 20% daripada sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) berjumlah RM974.5 juta telah ditukar kepada saham dan penukaran selanjutnya tidak akan berlaku. 

 

Ini memandangkan harga saham AirAsia kini hanya 62 sen, di bawah harga penukaran RCUIDS pada 75 sen. 

 

Selain itu, waran RM650 juta juga tidak mungkin ditukar kerana harga pelaksanaan adalah RM1. 

 

"Namun, kami berpendapat, jurang RM7.39 bilion setakat 30 September 2021 untuk meningkatkan dana pemegang sahamnya dan membolehkannya keluar daripada status PN17, adalah sangat mencabar untuk dicapai," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Jumaat lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. mengumumkan AirAsia telah diklasifikasikan
sebagai syarikat bermasalah sejajar dengan Perenggan 2.1(a) dan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.

 

Bursa Securities menegaskan ia akan terus memantau perkembangan AAGB dari segi pematuhan kepada Keperluan Penyenaraian Papan Utama.

 

Ini berikutan, sehari sebelumnya, Bursa Malaysia telah menolak rayuan AirAsia yang ingin melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 yang berakhir pada 7 Januari 2022.

 

 

Baca : AirAsia Group kini diklasifikasi PN17 oleh Bursa Malaysia Securities

 

 

Menurut Yap, dalam tempoh 12 bulan, AirAsia bertanggungjawab untuk mengemukakan Pelan Regularisasi kepada bursa untuk mendapatkan kelulusan, selepas itu, ia mempunyai 6 bulan untuk melaksanakan pelan tersebut.

 

Kumpulan juga, katanya, mesti merekodkan keuntungan bersih dalam 2 keputusan suku tahunan berturut-turut selepas selesai pelaksanaan pelan tersebut. 

 

"Sekiranya, AirAsia gagal dalam sebarang langkah ini, ia akan diikuti dengan penggantungan dagangan dan penyahsenaraian. 

 

"Jadi, ia mungkin memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 21 bulan sebelum dagangan AirAsia digantung atau dinyahsenarai," jelasnya. 

 

 

airasia

 

 

Namun, beliau berpendapat, kumpulan syarikat penerbangan itu dijangka mengambil beberapa langkah dalam usaha menangani pengurangan dana pemegang saham yang negatif ekoran situasi PN17.

 

Menurutnya, AirAsia mungkin mempertimbangkan untuk memecahkan operasi AirAsia Indonesia (IAA) dan AirAsia Filipina (PAA) dan menganggapnya sebagai syarikat bersekutu. 

 

AirAsia memiliki 47% pegangan dalam IAA dan 40% dalam PAA tetapi menyatukannya dalam penyata kewangan seolah-olah mereka adalah anak syarikat, dan kemudian memotong apa yang dipanggil 'kepentingan minoriti' sebanyak 53% untuk IAA dan 60% untuk PAA.

 

"Jika kumpulan menyahsatukan kedua-dua syarikat penerbangan ini, kami menganggarkan kedudukan pemegang saham akan bertambah baik sebanyak RM2.25 bilion kerana tiada keperluan bagi akaun disatukan untuk berkongsi ekuiti negatif pemegang saham bagi gabungan IAA dan PAA. 

 

"Bagaimanapun, AirAsia tidak pernah bercakap secara terbuka tentang kemungkinan langkah ini, dan kami tidak pasti jika kumpulan akan melaksanakan perkara sedemikian," jelasnya. 

 

Berbanding anggaran awal sebanyak RM7.39 bilion diperlukan untuk meningkatkan dana pemegang saham, memandangkan juruaudit menyatakan 'ketidaktentuan material' dalam pendapat audit bagi tahun kewangan 2020 (FY20). 

 

"Sekiranya, juruaudit mengeluarkan perkara ini dalam pendapat audit akan datang (mungkin untuk FY21 atau FY22), maka, kumpulan hanya memerlukan dana pemegang saham yang positif sebanyak RM40 juta atau lebih bagi mengelakkan diklasifikasi sebagai PN17. 

 

"Dalam ini, kedudukan dana pemegang saham setakat 30 September 2021 hanya memerlukan RM3.19 bilion daripada negatif RM3.15 bilion kepada positif RM40 juta," katanya.

 

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, ini boleh dicapai dengan lebih baik melalui penyahgabungan IAA dan PAA, dan penukaran penuh RCUIDS. 

 

"Tetapi tiada jaminan kerana AirAsia mungkin terus mengalami kerugian berulang suku tahunan pada masa hadapan yang boleh dijangka disebabkan pasaran penerbangan yang sukar dan pemulihan perlahan daripada penutupan sempadan antarabangsa akibat penularan wabak COVID-19," tambahnya.

 

 

airasia food

 

 

Selain itu, Yap turut berpendapat, AirAsia boleh mengurangkan pegangannya dalam perniagaan digital di bawah 50% dalam usaha menangani situasi PN17. 

 

Menurutnya, perniagaan digital kumpulan berada di peringkat pelaburan di mana mereka mungkin menggunakan sejumlah besar sumber tunai, kerana mereka bersaing dengan pesaing yang mantap dan dibiayai dengan baik.

 

Katanya, dorongan AirAsia untuk pertumbuhan dalam ruang digital datang pada harga yang tinggi, dengan perniagaan digital melaporkan peningkatan kerugian suku tahunan.

 

"Sebahagian kerugian ini boleh dikurangkan pada masa hadapan menerusi pertumbuhan volum dan skala ekonomi, tetapi kami bimbang pasaran perkhidmatan seperti pengangkutan e-hailing dan penghantaran makanan sudah tepu memandangkan penyertaan pemain sedia ada, Grab dan Foodpanda kerap membuat pengiklanan besar-besaran dan banyak menawarkan promosi serta diskaun.

 

"Oleh demikian, perniagaan pengangkutan e-hailing dan penghantaran makanan AirAsia akan berdepan persaing sengit pada masa hadapan," jelasnya.

 

Namun, beliau percaya, AirAsia sedang berusaha untuk melupuskan sebahagian pegangan dalam beberapa syarikat digital tetapi belum lagi mempunyai maklumat terperinci mengenai aspek penilaian dan material berhubung langkah tersebut.

 

Dalam pada itu, Yap berkata, potensi klasifikasi PN17 akan mempunyai implikasi negatif terhadap harga saham AirAsia kerana ia percaya kebanyakan pelabur institusi tidak akan dibenarkan oleh mandat mereka untuk melabur manakala pelabur runcit mungkin panik dan melupuskan saham tersebut.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'kurang' terhadap saham AirAsia dengan harga sasaran pada 14 sen.

 

Setakat 11.23 pagi ini, saham AirAsia terus menyusut 2.5 sen atau 4.03% kepada 59.5 sen dengan 38.6 juta saham diniagakan di sebalik jaminan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes terhadap usaha kumpulan dalam menangani status PN17.

 

Fernandes berkata, portfolio syarikat AirAsia yang kukuh dan pelbagai akan membolehkannya menjejaki
penyelarasan kedudukan kewangannya dengan cepat dan telah mengesahkan daya maju perniagaannya yang kukuh pada masa depan. - DagangNews.com