AirAsia setuju guna aerobridge sepenuhnya di Sarawak | DagangNews Skip to main content

AirAsia setuju guna aerobridge sepenuhnya di Sarawak

Tiada lagi penumpang berjalan berpayung dalam hujan dari pesawat menuju ke terminal selepas ini kecuali pesawat kecil daripada Fokker. - Gambar KwikkNews

 

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SELAIN kelonggaran untuk anak Sarawak kembali ke kampung halaman yang diumumkan seminggu ini, satu lagi `berita kacak’ ialah AirAsia akhirnya bersetuju mengguna pakai aerobridge sepenuhnya di semua lapangan terbang negeri itu.

 

Perkara ini telah lama dibangkitkan sehingga ke peringkat Kerajaan Negeri sebelum kewujudan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan sehinggalah penubuhan suruhanjaya, isu ini diadukan oleh pengguna.

 

Jauh di sudut hati, menggunakan tangga melalui lorong kecil meletakkan lapangan terbang Kuching seolah-olah sebuah lapangan terbang di negara tidak membangun. Jadi hendak rasa membangun, naiklah Malaysia Airlines atau Malindo sebab kedua-dua syarikat guna aerobridge.

 

Bayangkan penumpang itu pelancong asing, pasti kecewa kerana apa-apa sahaja kemudahan dan perangai kakitangan yang mengendalikan perkhidmatan di lapangan terbang pasti meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi yang pertama kali mengunjungi negara kita. 

 

Malah Merrepak suarakan juga kepada sahabat-handai yang menjaga media di AirAsia. Namun tidak boleh apa. Ia berkait rapat dengan mengekalkan kos rendah syarikat penerbangan tambang murah ini.

 

Pada 21 Oktober 2021, Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak (SPTC) telah menerima maklum daripada Pegawai Perhubungan Kerajaan AirAsia di negeri itu, Hamdan Mohammad bahawa semua penerbangan syarikat itu akan berterusan menggunakan aerobridge untuk keselamatan dan kemudahan semua penumpang.
 

 

hamdan
Hamdan Mohammad

 

Kos penggunaan aerobridge setiap kali pesawat mendarat ialah RM85 atau 25 sen setiap penumpang. Kadar iniditetapkan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Difahamkan AirAsia telah cuba merundingkan penurunan harga ini sekian lama tetapi MAHB kata paras itu sudah pun direndahkan daripada kadar standard di Asia Tenggara.

 

Mengikut catatan sejarah, hal ini jugalah menjadi titik pertikaian AirAsia berat hendak berpindah ke KLIA2 pada 2014, yang telah dianalisis Merrepak ketika itu.

 

Perdebatan AirAsia berkisar kepada model perniagaannya iaitu masa pusingan pantas bagi meningkatkan penggunaan pesawat. Secara ringkasnya, sejurus sahaja pesawat mendarat, penumpang keluar, kira-kira 10 minit kemudian kumpulan penumpang baharu menaiki pesawat dan berlepas semula.

 

Kaedah ini adalah kunci kepada formula penerbangan tambang murah iaitu membolehkan pesawat terbang lebih kerap ke sesuatu destinasi dalam sehari, terutama untuk penerbangan pendek antara sejam ke tiga jam penerbangan.

 

Oleh itu, AirAsia merayu diberikan pengecualian menggunakan aerobridges kepada MAHB pada 2011 iaitu semasa pembinaan KLIA2. Dalam semangat sebagai rakan perniagaan, kehendak AirAsia dipersetujui MAHB, yang tentunya harus menawarkan pengecualian serupa kepada syarikat penerbangan lain.

 

Bagaimanapun, permintaan itu hanya di KLIA2. Di lapangan terbang lain di Malaysia, AirAsia tidak menggunakan aerobridges seperti di Kuching.

 

merrepak
Aerobridge di KLIA2, Sepang.

 

 

Lapangan terbang di negara lain di rantau ini mengenakan perintah mandatori (wajib) untuk menggunakan aerobridges bagi kesenangan dan keselamatan penumpang. Bila sesebuah syarikat tidak mahu menggunakan aerobridges, pesawat terpaksa berhenti di kawasan hujung terminal dan bas digunakan bagi mengangkut penumpang.

 

Dalam hal ini, AirAsia menyatakan syarikat itu mematuhi peraturan seumpamanya di luar negara kerana tiada pengecualian diberikan. Di KLIA2, AirAsia minta pengecualian. Dan MAHB beri pengecualian. Maka ketika itu, KLIA2 dibina tanpa dipasang aerobridges. Ini bukan cerita rekaan. Rujuk kenyataan akhbar MAHB dalam laman web mereka.

 

Tidak apa. Semua di atas tinggal dalam lipatan sejarah.

 

Selepas ini, tidak pasti bagaimana AirAsia akan menampan penambahan kos ini, sama ada akan diturunkan kepada penumpang atau sebagainya. Harap tidak berlaku kenaikan harga mendadak seperti musim pandemik lepas, harga tiket KL-Kuching jadi bahan ketawa sebab sama harga KL ke London.

 

 

merrepak

 

 

Mungkin cara lain yang boleh AirAsia lakukan bagi menampan kos itu ialah meningkatkan volume dan kapasiti menggunakan pesawat besar.

 

Masalahnya ialah sementara penerbangan Kuala Lumpur ke Kuching boleh dipenuhi sehingga 90%, penerbangan Kuching ke Kuala Lumpur tidak setinggi itu.

 

BACA JUGA : AirAsia tawar diskaun 30% dari KL ke Kuching, Miri, Sibu, Bintulu sehingga 31 Mei 2022

 

EnterSarawak tidak lagi diwajibkan: Terima kasih dengar suara rakyat

 

 

Daripada segi penumpang, penggunaan aerobridge ini banyak manfaatnya. Selama ini memang menahan hati bila pesawat AirAsia mendarat di Kuching, kena turun ke landasan dan berjalan memanjat pula tangga aerobridge untuk ke terminal. Semua tahu betapa penumpang AirAsia susah hendak masukkan bagasi ke dalam perut pesawat. Terhenjut-henjutlah mengangkat beg masing-masing memanjat tangga.

 

Kalau di Langkawi, memang seronok turun ke landasan. Suasana pulau lain sedikit. Tetapi sama sahaja dukacitanya bila hujan. Basah tetap basah seluruh badan dan beg. Begitulah juga di lapangan terbang Kuching. Kuyup.

 

Jadi penggunaan aerobridge akan memudahkan. Banyak memudahkan.

 

AirAsia tidak rugi sebenarnya kerana selama ini, memang AirAsia jadi pilihan disebabkan harga tiket murah. Tetapi bila hendak terbang bersama ibu bapa tua atau bayi, pelanggan akan memilih syarikat lain dan lebih rela membayar lebih demi keselesaan dan keselamatan ahli keluarga.

 

Tidak sanggup melihat ibu bapa berkerusi roda, harus menuruni tangga curam pesawat.

 

Jadi perkara sebegini teknikal, sebenarnya memberi manfaat besar kepada AirAsia.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai anak kelahiran Mukah, Sarawak dan Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu All That She Wants - Ace of Base berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.