"Betul ke nak urus harta pusaka ni senang aje?" | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 19 Jul 2021 07:30 AM
ariffinsabirin

"Betul ke nak urus pusaka ni senang aje?"

 

 

SELESAI satu seminar beberapa tahun lepas, seorang peserta datang bertemu saya dan memberikan pandangannya bahawa senang saja nak urus pusaka bukan susah pun. Bila dia mendengar pembentangan saya, pada pandangannya saya hanya nak menakut-nakutkan masyarakat dengan bercerita betapa susahnya nak uruskan harta pusaka.

 

Syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad selalu bercerita seolah-olah urusan harta pusaka ini susah sebab nakkan bisnes. Nak supaya masyarakat menggunakan perkhidmatan kami. Padahal tak susah manapun nak uruskan harta pusaka.

 

Saya mendengar dengan penuh minat ulasannya. Jujurnya, sepanjang 23 tahun terlibat dalam industri perancangan harta, ini bukan kali pertama saya mendengar ulasan sebegitu.

 

Tambahnya lagi, dia tahu semua undang-undang sivil dan syariah berkaitan harta pusaka sebab dia dah sertai macam-macam seminar. Siap ditunjuknya kepada saya fail lusuhnya yang mengumpulkan pelbagai keratan akhbar pasal harta pusaka.

 

Bila berlaku kematian kepada ahli keluarganya dia tahu secara tepat ke mana nak pergi dan apa proses perundangan yang perlu dilaluinya. Katanya dia dah faham sepenuhnya  Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 termasuk pindaannya, Akta Probet dan Pentadbiran 1959, enakman-enakmen berkaitan undang-undang syariah dan undang-undang yang mengikat semua jenis harta seperti Kanun Tanah Negara, IFSA 2013, akta Tabung Haji dan sebagainya.

 

Saya sangat kagum berdepan dengan hamba Allah ini kerana dengan pengetahuannya, dia juga layak untuk duduk di atas pentas bersama saya sebagai pembentang.

 

Dia sangat ‘passionate’ dengan ilmu harta pusaka ini. Malah katanya dia juga membantu mengisi borang, membuat carian hartanah dan memberi nasihat tepat kepada ramai kawannya dalam urusan harta pusaka keluarga mereka. Masya Allah tabarakallah , itulah respon yang keluar dari mulut saya bila mendengar ceritanya. Semoga Allah memberkati segala usahanya.

 

Tapi bila saya tanyakan beberapa soalan kepadanya, dia termenung seketika. Saya tanyakan kepadanya, adakah mana-mana anak atau isterinya yang mempunyai pengetahuan sepertinya? Adakah mereka juga sangat ‘passionate’ sepertinya dan menghadiri pelbagai seminar harta pusaka dan mengumpulkan pelbagai maklumat sepertinya? Adakah mereka tahu apa beza harta pusaka besar, harta pusaka kecil dan harta pusaka ringkas? Adakah mereka tahu bila masanya pula mereka perlu pergi ke Mahkamah Syariah dan untuk tujuan apa?

 

Perlahan-lahan dia menggelengkan kepalanya. Menurutnya anak dan isterinya tak minat pun nak mendengar ceritanya tentang harta pusaka, malah mereka selalu menukar subjek perbualan bila disentuh hal ini kerana pada mereka subjek ini boring!

 

 

ariffinsabirin

 

 

Saya tanyakan lagi kepadanya jika dia yang meninggal dunia nanti, anak dan isterinya tahu ke apa proses yang perlu dibuat dan ke mana nak dituju? Sekali lagi dengan perlahan dia menggelengkan kepalanya.

 

Apa jaminan bila dia mati kelak, urusan pusakanya akan berjalan lancar selancar urusan pusaka kawan-kawannya yang dia tolong uruskan? Saya juga lama bergelumang di dalam industri ini dan tahu serba sedikit ilmu tentangnya. Tetapi anak dan isteri saya tidak tahu tentangnya.

 

Walaupun mereka pernah mengikuti saya berceramah di seluruh Malaysia termasuk di Brunei, bila ditanya mereka masih tidak faham apa kesan Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran tentang fi 5% yang boleh dikenakan kepada waris oleh pihak profesional jika perkhidmatan pihak ini digunakan untuk menguruskan harta pusaka saya. 

 

Yang tahu tentang ilmu ini ialah saya dan yang mati nanti ialah saya. Harta pusaka yang perlu diurus pula ialah harta pusaka saya dan bebanan untuk menguruskannya akan jatuh di atas bahu  anak atau isteri saya.

 

Di sinilah nanti masalah akan timbul. Takkanlah saya nak bangkit dari kubur dan menguruskan sendiri harta pusaka saya! Kerana tiada mana-mana pihak yang membantu anak dan isteri saya dalam urusan harta pusaka saya, ada kemungkinan besar urusan ini akan tertangguh atau tidak dibuat. Maka bertambahlah kes pusaka tertunggak di Malaysia!

 

Selain dari mendidik masyarakat tentang ilmu ini, objektif saya berceramah dan berkongsi juga ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menggunakan perkhidmatan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dalam urusan harta pusaka. Ia bukan kerana bisnes semata-mata seperti didakwa sesetengah pihak.

 

Kenapa hal ini sangat penting? Kerana tidak seperti individu seperti saya dan anda, Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah tidak akan mati.

 

Kalau kita menggunakan perkhidmatan individu untuk membuat dokumen perancangan harta, walau pandai manapun individu itu, ada kemungkinan dia akan mati lebih awal dari kita.

 

Bagaimana pula waris kita nak mendapatkan bantuan dan nasihat darinya untuk urusan harta pusaka kita? Dokumen itu dia yang draf dan hanya dia sahaja tahu secara tepat apakah sifat dokumen itu dan bagaimana dokumen itu boleh digunakan dalam proses perundangan harta pusaka. Saya pernah disuakan dengan pelbagai format dokumen perancangan harta oleh masyarakat.

 

Walaupun saya berpengalaman berpuluh tahun dalam bidang ini, saya  memerlukan masa untuk cuba memahami format dokumen yang dibuat itu dan ada masanya saya pun tak faham kenapa format itu dibuat sedemikian rupa.

 

 

ariffinsabirin

 

 

Kalau masyarakat membuat dokumen perancangan harta dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad pula apa bezanya? Bukankah sebagai syarikat Wasiyyah Shoppe Berhad juga berkemungkinan akan tutup kedai atas pelbagai sebab?

 

Di sinilah masyarakat tidak faham perbezaan syarikat sdn bhd dan syarikat amanah yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 secara jelas menyatakan bahawa sekiranya syarikat amanah ingin menutup operasinya, maka perintah mahkamah perlu diperoleh.

 

Tidak seperti syarikat sdn bhd biasa yang boleh ditutup hanya dengan resolusi Lembaga pengarah, syarikat amanah perlu memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan kebenaran menutup operasi.

 

Untuk memberi kebenaran, mahkamah akan melihat sama ada syarikat amanah itu telah menunaikan segala tanggungjawab kepada pelanggannya.

 

Dengan jumlah pelanggan melebihi 70,000 orang, adalah mustahil Wasiyyah Shoppe Berhad boleh menyelesaikan kesemua tanggungjawabnya pada satu-satu ketika.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad juga bukan saya sebagai individu yang mendraf format-format dokumen perancangan harta atau melaksanakannya. Kami mempunyai Jabatan Syariah yang dianggotai belasan kakitangan berkelayakan ijazah sarjana muda, sarjana sehingga phD dalam bidang syariah.

 

Mereka ini ialah pihak yang mengawasi penyediaan dan pelaksanaan dokumen perancangan harta di Wasiyyah Shoppe Berhad. Kami juga mempunyai kakitangan berpengalaman di Jabatan Pengurusan Legasi yang berkepakaran di dalam proses tuntutan harta pusaka baik di Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil mahupun Mahkamah Syariah.  

 

Kami juga mempunyai Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Panel Syariah yang dianggotai ilmuwan berpengetahuan tinggi di dalam fiqh mawarith dan berpengalaman puluhan tahun di dalam urusan harta pusaka di Malaysia.

 

Jadi apa kesannya kepada pelanggan yang membuat dokumen perancangan harta dengan Wasiyyah Shoppe Berhad jika saya, Ariffin Sabirin mati?

 

Tiada kesan apa-apa!! Sebaliknya, Wasiyyah Shoppe Berhad akan terus beroperasi walaupun selepas saya mati dan pengetahuan tentang format dokumen serta pelaksanaan adalah pengetahuan yang dimiliki oleh keseluruhan organisasi.

 

Pengetahuan itu telah direkodkan secara sistematik dan pelaksanaannya juga telah direkodkan lengkap dengan SOPnya sekali. Bukanlah lebih selamat membuat dokumen perancangan harta dengan Wasiyyah Shoppe Berhad berbanding dengan individu? Bukankah lebih terjamin pelaksanaan dokumen itu pada masa akan datang? Renungkan.   

 

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH