Harta tidak patuh syariah HARAM dipusakai? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 10 Jan 2022 08:00 AM
Wasiyyah

HARTA TIDAK PATUH SYARIAH HARAM DIPUSAKAI?

 

 

 

MINGGU ini saya nak berkongsi tentang kedudukan harta yang diperoleh dari kaedah tidak patuh Syariah di dalam konteks pewarisan harta pusaka.

 

Isu ini memang jarang diperkatakan oleh masyarakat, mungkin kerana masyarakat merasakan isu ini tidak relevan atau mungkin juga mereka tidak tahu. Jadi saya ambil kesempatan membicarakannya di dalam artikel minggu ini.

 

Kebanyakan masyarakat beranggapan apabila berlaku sahaja kematian maka semua harta pusaka ‘wajib’ diagihkan kepada semua waris mengikut hukum faraid. Bab hukum wajib diagihkan kepada waris itu sudah betul tetapi ada satu sudut lain juga yang mesti diambil berat oleh masyarakat.

 

Dari segi hukum sebenarnya bukan semua harta pusaka ‘wajib’ diagihkan malah ada sesetengahnya ‘haram’ dipusakai. Hanya harta pusaka yang patuh Syariah dan diyakini patuh Syariah sahaja yang boleh dipusakai oleh waris.

 

Harta yang tidak patuh Syariah dan diyakini tidak patuh Syariah adalah haram dipusakai. Bab ini ramai waris yang terlepas pandang.    

 

Semenjak 1998 saya telah pun turun padang mendidik masyarakat mengenai isu harta pusaka. Antara perkara yang saya tekankan ialah tentang ‘kehalalan’ harta baik yang ingin diwariskan melalui hukum faraid, dihibahkan atau diwasiatkan.

 

Semua harta kita mestilah bersih dan patuh syariah kerana hukum mewariskan harta yang tidak patuh syariah ialah haram. Hukum menetapkan hanya harta yang ‘bersih’ dan patuh syariah sahaja yang boleh diwariskan, dihibah atau diwasiatkan.

 

Perkara ini sudah pun disepakati oleh para ulamak seperti Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/35 yang menjelaskan, “ Sesiapa yang mewarisi harta dan dia tidak tahu sumber harta bagi simati sama ada dari sumber yang halal atau yang haram dan tiada sebarang tanda atau petunjuk berkenaannya maka harta tersebut halal untuk diwarisi mengikut ijma’ ulamak. Dan jika sekiranya dia (waris) mengetahui bahawa pada harta tersebut terdapat bahagian yang haram dan syak pada kadar bilangannya, maka perlulah bagi waris untuk mengeluarkan kadar haram tersebut berdasarkan ijtihad.”

 

 


 

ariffinsabirin


 

 


Kenapa isu ini penting dan relevan kepada umat Islam hari ini ? Kerana hari ini dunia kewangan sangat kompleks dan mencabar. Tawaran produk kewangan yang banyak di dalam pasaran menyebabkan kita berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya dalam memastikan sumber harta yang kita diperolehi itu dari kaedah yang patuh syariah.

 

Contoh harta yang tidak patuh Syariah ialah keuntungan yang kita peroleh dari pelaburan tidak patuh Syariah baik pelaburan yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

 

Kita membuka satu akaun pelaburan di dalam sesuatu syarikat yang kita ketahui secara tepat bahawa wang kita itu dilaburkan di dalam instrumen kewangan yang tidak patuh Syariah yang melibatkan unsur riba’, gharar dan maisir ataupun syarikat pelaburan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa pelaburan yang mereka kendalikan tidak patuh Syariah.

 

Tetapi kerana kita nak untung banyak maka kita pun pejamkan saja mata. Janji kita untung.

 

Akaun pelaburan itu jika ditakdirkan kita mati menjadi salah satu dari harta pusaka selain dari harta-harta kita yang lain.

 

Sekilas pandang, waris akan menyangka bahawa akaun pelaburan itu juga ‘wajib’ diagihkan mengikut hukum faraid sedangkan hakikatnya atas sifatnya, akaun pelaburan itu sebenarnya haram dipusakai kerana tidak patuh Syariah.

 

Harta ini seharusnya diasingkan dari harta pusaka lain yang patuh Syariah dan diuruskan mengikut kaedah yang ditetapkan oleh hukum Syarak.

 

Kedudukan sama juga akan terlibat untuk harta-harta tidak patuh Syariah yang lain seperti akaun simpanan konvensional di bank, polisi insurans dan sebagainya.

 

Cuma kaedahnya agak berbeza kerana formula pengasingan itu perlu mengambil kira jumlah prinsipal dan faedahnya. Jumlah prinsipal yang dideposit oleh simati itu boleh dipusakai manakala faedahnya itu tidak patuh Syariah dan tidak boleh dipusakai waris.

 


 

Wasiyyah

 

 


Memastikan harta yang kita peroleh itu mengikut kaedah Syriah adalah fardu kepada kita sebagai orang Islam. Di Malaysia kita ada banyak pilihan untuk membuat pelaburan patuh Syariah.

 

Bursa Malaysia contohnya melancarkan kempen ‘Shariah Investing’ yang bermatlamatkan untuk mendidik pelabur supaya melabur di dalam sekuriti yang patuh Syariah sahaja. Ini satu strategi yang sangat baik.

 

Di dalam kita mencari keuntungan dari pelaburan, aspek kepatuhan Syariah juga mesti dititikberatkan. Saya angkat topi dengan Bursa Malaysia.

 

Penglibatan Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam pembangunan perkhidmatan Hibah Akaun CDS pula menyokong ekosistem pelaburan patuh Syariah yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia.

 

Selain dari melabur di dalam sekuriti yang patuh Syariah, pelabur juga kini boleh memastikan manfaat dari Akaun CDS itu dimiliki oleh orang yang dikehendakinya melalui kaedah hibah.

 

Jadi pengumpulan kekayaan dibuat mengikut kaedah Syariah dan pewarisannya juga dibuat melalui kaedah Syariah.

 

Namun saya akui proses untuk mengasingkan harta pusaka yang patuh Syariah dan tidak patuh Syariah ini bukanlah satu proses yang mudah.

 

Sistem pusaka di Malaysia baik di peringkat Amanah Raya Berhad, Pejabat Pusaka Kecil mahupun Mahkamah Tinggi Sivil tidak pernah mengasingkan proses yang berbeza bagi harta tidak patuh Syariah dan patuh Syariah.

 

Asalkan harta itu milik berdaftar simati, maka semua harta pusaka dikumpulkan bersama dan melalui proses perundangan di agensi berkenaan.

 

Terserahlah kepada waris-waris untuk mengambil inisiatif sendiri bagaimana nak memastikan harta pusaka yang tidak patuh Syariah itu diasingkan terlebih dahulu sebelum baki harta pusaka diagihkan kepada waris yang berhak.

 

Bukan mudah untuk mengelak ‘bisikan ablasa’ bila jumlah harta tidak patuh Syariah itu besar. 

 


 

Wasiyyah

 

 


Saya pernah terjumpa kes di mana simati meninggalkan akaun CDS yang di dalamnya terkandung sekuriti tidak patuh Syariah melebihi daripada sekuriti patuh Syariah.

 

Jika diasingkan sekuriti yang tidak patuh Syariah yang bernilai beberapa ratus ribu RM, nilai sekuriti patuh Syariah yang masih ada di dalam akaun CDS itu hanya tinggal beberapa belas ribu RM sahaja.

 

Dari segi hukum, hanya belasan ribu Ringgit Malaysia nilai sekuriti ini sahaja yang halal diwarisi oleh waris-warisnya.

 

Terkebil-kebil waris bila saya beritahu hukum dan kaedah pembersihan yang perlu dilalui waris.

 

“Banyak tu..” respon mereka bila dicongak-congak nilai sekuriti yang perlu dilupuskan dan tidak boleh diterima  oleh mereka.

 

Jawab saya sambil tersenyum, “Tepuk dada tanya iman jangan tanya hati sebab hati tempat terkumpulnya nafsu.”  

 


 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH