Ibu bapa yang membuka akaun SSPN untuk anak, silalah letakkan penama segera! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 26 June 2024

IBU BAPA YANG MEMBUKA AKAUN SSPN UNTUK ANAK, SILALAH LETAKKAN PENAMA SEGERA!

 

 

 

KECOH kebelakangan ini berkenaan status akaun SSPN kendalian PTPTN sama ada ia menjadi harta pusaka kepada si ayah atau ibu yang membuka akaun itu untuk tujuan pendidikan anak-anak. Maka ramailah yang memberikan pelbagai pandangan.

 

Sebagai antara ‘orang  tua’ dengan pengalaman 26 tahun di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka Malaysia, saya turut dihujani pertanyaan yang sama.

 

Walaupun saya tahu jawapannya dari awal, saya memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan kerana saya mahu menunggu kenyataan rasmi PTPTN sendiri. Saya tidak mahu mendahului pihak berkuasa di dalam ulasan perkara ini.

 

 

ptptn

 

 

Namun secara umum, telah pun saya ulas sedikit perkara ini di dalam artikel saya minggu lepas walaupun tidak saya sebut secara khusus artikel itu kepada simpanan SSPN di PTPTN. Sebagai pengendali akaun saya percaya PTPTN ialah pihak yang jawapannya paling sahih.

 

Beberapa hari lepas, PTPTN di dalam facebooknya telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi tentang status SSPN. Dari kenyataan itu,  SAH AKAUN SSPN IALAH HARTA PUSAKA kepada pendeposit apabila dia mati.

 

Maka apa sahaja wang simpanan yang berada di dalam akaun itu merupakan HARTA PUSAKA dan perlu diagih kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid. Saya harap kenyataan PTPTN ini akan menghentikan semua polemik.

 

Mari saya ulas isu ini secara berfakta berdasarkan maklumat yang saya ada. Pendeposit SSPN kena faham dengan hati yang terbuka melalui perspektif perbincangan di dalam artikel ini.

 

Pertama : Siapakah pemilik akaun mengikut undang-undang?

Perkara paling asas yang kita mesti faham ialah akaun SSPN ini nama pendepositnya ialah ibu atau bapa yang membuka akaun itu.

 

Di dalam pendaftaran SSPN, ibu atau bapa merupakan pemilik akaun. Atas prinsip ini, seperti juga harta-harta lain yang berdaftar di atas nama si mati seperti rumah, tanah, akaun bank dan sebagainya, maka ia adalah harta pusaka dan perlu diagih kepada waris-waris hukum faraid.

 

Keadaan ini berbeza dengan akaun tabung haji atau akaun bank yang kita buka atas nama anak-anak bawah umur 18 tahun sebagai pendeposit berdaftar namun nama ibu bapa dimasukkan sebagai pemegang amanah sahaja. Apabila ibu bapa mati, kedudukan akaun itu kekal milik sah anak-anak.

 

 

wasiyyah

 

 

Kedua : Apakah kaedah tuntutan selepas kematian?

Selepas kematian apabila tuntutan dibuat kepada PTPTN, maka PTPTN akan membayar baki akaun SSPN itu kepada PENAMA bagi akaun itu atau jika tiada PENAMA, maka Surat Kuasa Mentadbir daripada Pejabat Pusaka Kecil (bagi kes harta pusaka keseluruhan bernilai kurang daripada RM 2 juta) ATAU Letter of Administration / Geran Probet (bagi kes harta pusaka keseluruhan bernilai lebih daripada RM 2 juta).

 

Wang di dalam akaun akan dibayar oleh PTPTN kepada pentadbir.

 

Barang perlu saya ingatkan, tempoh masa untuk mendapatkan surat-surat kuasa di atas agak panjang serta prosesnya agak sukar dan memakan belanja yang tidak sedikit.

 

Proses ini bukan sahaja melibatkan akaun SSPN malah kesemua harta pusaka si mati seperti rumah, tanah, akaun simpanan di bank, kenderaan dan sebagainya. Kebajikan anak-anak pasti akan terjejas kerana mereka akan lewat menerima wang tersebut.

 

Ketiga : Jalan pintas sedia ada untuk membuat tuntutan

Kita pastinya mahukan akaun SSPN yang telah kita buka untuk anak-anak ini dapat diterima mereka secepat mungkin selepas kematian kita.

 

Maka jalan pintas sedia ada ialah letakkan PENAMA bagi akaun itu. PTPTN akan membayar di dalam tempoh 14 hari tuntutan dibuat kepada PENAMA.

 

Walaupun PENAMA perlu mengagihkan semula wang itu kepada semua waris mengikut hukum faraid, sekurang-kurangnya anak-anak kita tetap akan mendapat bahagian mereka dalam tempoh yang singkat.  

 

Keadaan ini lebih baik daripada wang itu terbeku sehingga surat kuasa mentadbir diperoleh.

 

Agak menyedihkan apabila saya difahamkan hanya kurang daripada 1% pendeposit SSPN meletakkan PENAMA untuk akaun mereka. Ini bermakna, 99% lagi akaun pendeposit di SSPN hanya boleh dituntut apabila surat kuasa mentadbir / geran probet / letter of administration telah diperoleh.

 

Diandaikan pendeposit Islam di PTPTN ada seramai 5 juta orang, hanya 50,000 orang sahaja apabila mati, wang simpanan itu akan dibayar dengan cepat kepada PENAMA.

 

Majoriti 4,950,000 baki pendeposit itu pula pembayarannya hanya akan dibuat apabila semua surat kuasa di atas diperoleh! Sangat lama dan sukar proses ini!  

 

 

wasiyyah

 

 

Keempat : Apa kedudukan manfaat takaful pendeposit SSPN

Akaun SSPN mempunyai perlindungan takaful. Walaupun wang simpanan di dalam akaun itu merupakan harta pusaka, namun manfaat takaful bagi akaun-akaun itu BUKAN PUSAKA.

 

Tentu pembaca hairan kerana kenyataan saya ini bercanggah dengan kenyataan awal di atas.  

 

Kenapa saya katakan manfaat takaful itu BUKAN PUSAKA? Kerana saya difahamkan manfaat takaful itu dibayar oleh syarikat takaful terus kepada pihak yang menuntut bagi pihak anak-anak sebagai penerima manfaat.

 

‘Treatment’ syarikat takaful ke atas manfaat ini adalah berdasarkan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

Oleh kerana di dalam akaun SSPN itu telah diletakkan nama anak-anak sebagai penerima manfaat, ia dianggap sebagai ‘benefisiari’ seperti tafsiran akta tersebut.

 

Ini bermakna ‘benefisiari’ tidak perlu mengagihkan manfaat itu kepada waris-waris mengikut hukum faraid. Ia menjadi hak milik mutlak ‘benefisiari’.

 

Kelima :  Adakah akaun SSPN boleh dihibahkan?

 

Secara prinsipnya, semua harta milik kita boleh dihibahkan. Kedudukan akaun SSPN juga tiada pengecualian. Ia boleh dihibahkan.

 

Bagi menjamin anak-anak mendapat hak mutlak ke atas akaun itu, maka bolehlah ibu bapa menghibahkan akaun itu kepada mereka.

 

Saya faham akan ada banyak pihak menawarkan produk hibah untuk membantu pendeposit SSPN untuk membuat hibah, namun saya suka cadangkan supaya pendeposit menunggu sedikit masa lagi untuk PTPTN melancarkan produk HIBAH SSPN mereka.

 

Saya difahamkan proses ke arah itu sedang berjalan namun ia akan memakan sedikit  masa.   

 

Kenapa saya cadangkan demikian? Kerana walaupun prinsip hibah itu secara umumnya sama dan banyak pihak diluar mungkin mampu menyediakan dokumen hibah itu, namun bagi menjadikan ia berkuatkuasa serta boleh dilaksanakan, ia mesti selari dengan Akta PTPTN 1997, Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955, Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan peraturan serta SOP PTPTN sendiri.

 

Membuat hibah akaun SSPN melalui pihak ketiga yang tidak memahami isu ini, akan merisikokan hibah itu tidak berkuatkuasa mengikut hukum syarak dan undang-undang semasa.

 

Jadi saranan saya, tunggulah sehingga PTPTN melancarkan produk HIBAH SSPN mereka. Ia lebih terjamin selamat.     

 

KESIMPULAN

Bertindaklah segera di dalam ruang yang lingkup sedia ada terlebih dahulu kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.

 

Akaun SSPN ialah kaedah tabungan paling mudah dari sudut proses (kerana digital sepenuhnya), paling murah dari sudut akses kepada manfaat takaful yang tinggi serta paling ‘spot-on’ bagi kemudahan pendidikan tinggi anak pada masa depan.

 

Simpanlah sebanyak mungkin di dalam akaun ini bagi kemudahan anak-anak namun letakkan PENAMA segera supaya proses pengeluarannya tidak rumit. Ini ruang lingkup yang sedia ada sekarang.

 

Kedudukan manfaat takaful sebagai hak mutlak kepada anak-anak pada pandangan saya adalah terjamin. Nilai manfaat takaful ini agak signifikan dan pasti ia dapat membantu anak-anak kita.    

 

Bersabar dan tunggulah sehingga PTPTN melancarkan produk HIBAH SSPN mereka. Sebaik sahaja dilancarkan bersegeralah membuat hibah akaun simpanan SSPN itu melalui platform yang disediakan.    

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags