Pesanan untuk rakan-rakan usahawan: Cari Rezeki Halal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 11 Sep 2024 07:00 AM

PESANAN UNTUK RAKAN-RAKAN USAHAWAN: CARI REZEKI HALAL

 

 

 

MINGGU ini saya kembali membincangkan dunia keusahawanan yang saya cintai. Mungkin ada yang melihat saya hanya sebagai pemain di dalam industri perancangan harta secara Syariah namun hakikatnya saya  juga ialah seorang usahawan.

 

Saya menubuh dan membangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad dari 0 sehingga ke hari ini. Alhamdulillah dengan sokongan semua pihak berkepentingan dari Lembaga Pengarah, Panel Syariah, kakitangan sehingga ke daie, Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini muncul sebagai syarikat amanah patuh Syariah segmen pelanggan individu yang terbesar di Malaysia dari sudut nilai aset pewarisan (asset under inheritance) dengan jumlah pelanggan melebihi 80,000 orang.

 

Panel Syariah dan Jabatan Syariah kami telah berusaha bertungkus-lumus salama 20 tahun untuk membuat pelbagai penyelidikan bagi membangunkan produk inovatif  pewarisan harta yang patuh Syariah dan dapat menyelesaikan pelbagai cabaran harta pusaka ummah.

 

Dari sudut teknikal hukum syarak dan undang-undang berkaitan, Wasiyyah Shoppe Berhad telah teruji oleh masa.

 

Namun kekuatan teknikal ilmiah dan niat  menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad untuk membantu umat Islam merancang harta dan mengurus harta pusaka mengikut kaedah Syariah ini tidak akan tercapai sekiranya Wasiyyah Shoppe Berhad tidak mampu bertahan ada masa hadapan.

 

Tiada gunanya semua produk-produk itu jika selepas kematian pelanggan, Wasiyyah Shoppe Berhad sudah tidak wujud dam tidak mampu membantu waris.

 

 

wasiyyah

 

 

Sebagai pengasas dan memegang amanah Ketua Pegawai Eksekutif, saya sangat faham dan mengerti bahawa tanggungjawab utama saya ialah untuk meletakkan asas yang kukuh supaya organisasi akan terus wujud selepas ketiadaan saya. Amanah yang diletakkan di bahu kami oleh lebih 80,000 pelanggan ini wajib dilaksanakan sebaik mungkin.

 

Bersama pasukan pengurusan, saya perlu menguruskan  Wasiyyah Shoppe Berhad dengan baik melalui strategi perniagaan mapan yang mampu beradaptasi dengan situasi semasa yang dinamik , kaedah pengurusan yang cekap,  tadbir urus korporat yang kukuh berpegang kepada integriti terpuji, metodologi pengurusan sumber manusia yang terkini dan tahap pengurusan kewangan yang terbaik.

 

Matlamat hidup saya tetap sama semenjak 20 tahun yang lepas. Saya akan berusaha sedaya-upaya saya supaya Wasiyyah Shoppe Berhad menjadi organisasi mantap yang terbaik untuk orang Islam dalam perancangan harta dan pengurusan pusaka. Kepentingan organisasi pada setiap masa mengatasi kepentingan peribadi saya.       

 

Namun ia lebih mudah diucap daripada dilaksanakan. Sebagai seorang yang memegang status sebagai pengasas, pemegang saham, ahli Lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, saya sentiasa berada di dalam persimpangan dilema dan terdedah  kepada godaan dan ujian.

 

Saya yakin dilema saya ini juga dihadapi oleh semua usahawan yang organisasinya sedang berkembang pesat. Dari satu sudut, kita sebagai usahawan telah bekerja keras, pecah kepala memikirkan bagaimana untuk memajukan perniagaan dan berkorban segala-galanya untuk kepentingan syarikat.

 

Atas segala pengorbanan ini, kita akan mudah dirasuk oleh pemikiran bahawa apabila perniagaan itu mulai menunjukkan kemajuan, maka kitalah orang yang selayaknya untuk menikmati segala  nikmat daripadanya.

 

Tambahan pula dunia hari ini sangat individualistik. Semua orang mengejar kemewahan dan kesenangan dan bersedia untuk membuat apa sahaja asalkan hasratnya tercapai. Garis pemisah di antara halal dan haram, dosa dan pahala sudah semakin menipis. Yang penting ialah harta, kuasa dan kemewahan.  

 

Berubah sikap

Saya sudah berada di dalam dunia keusahawanan ini semenjak 20 tahun yang lepas. Saya memerhatikan di depan mata kepala sendiri bagaimana kenalan saya berubah apabila sudah diulit kekayaan. Sombong, bongkak, merasakan diri lebih baik daripada orang lain, tamak dan sikap manipulatif menguasai diri.

 

 

wasiyyah

 

 

Kepada mereka, dunia ini ialah tentang mereka. Mereka mesti kaya, mendapat wang tunai yang banyak, dipuja dan disanjung masyarakat dan hidup senang lenang. Persetan dengan orang lain di sekeliling mereka. 

 

Usahawan memang sentiasa berada di persimpangan dilema. Dunia hari ini yang sangat materialistik dan menunjuk-nunjuk, tuntutan masyarakat yang selalu mengukur kejayaan dengan limpahan wang tunai, kereta mewah, pangkat, percutian luar negara, menunjuk-nunjuk barangan mewah dan berjenama, menyebabkan ramai orang menceburi bidang keusahawanan dengan niat yang salah.

 

Usahawan yang ‘berjaya’ dipuja-puja dan dicari-cari pandangannya. Mereka diangggap sebagai idola. Apa yang mereka cakap selalunya dianggap betul. Masyarakat yang dikaburi dengan kekayaan mereka idak mengetahui cerita di sebalik ‘kejayaan’ ini.

 

Secara peribadi saya kenal beberapa orang usahawan yang ‘berjaya’ ini. Saya tahu memang mereka bekerja keras untuk mencapai kejayaan itu namun saya  juga tahu bagaimana mereka menipu dan memanipulasi orang lain, melanggar undang-undang dan etika tanpa rasa bersalah.

 

Mereka sangat yakin melakukan semua perbuatan tidak bermoral ini berulang kali kerana merasa apabila Allah mengizinkan ia berlaku maka Allah redha. Tanpa mereka faham ujian kekayaan ini sebenarnya ialah ‘istidraj’ iaitu ujian yang berat daripadaNya.

 

Walaupun tidur di dalam rumah mewah, mereka ini sebenarnya golongan yang sukar tidur malam kerana sentiasa dihambat mimpi ngeri asbab dosa yang dilakukan.

 

Mereka tidak faham bahawa Allah akan terus memberikan mereka kekayaan dan ‘kejayaan’ kerana Allah mahu melihat berapa jauh mereka tersasar sebelum kembali bertaubat. Mereka akan terus lalai dan tersesat sehinggalah nyawa direntap daripada tubuh, wa naud zubillahi minzalik.  

 

Malah tanpa segan silu ada yang berbangga menawarkan untuk mengajar saya bagaimana kaedah mereka mengaut kekayaan jutaan RM. Di dalam hati saya sebenarnya tidak kagum dengan apa yang mereka capai kerana saya tahu kaedah bagaimana semua kekayaan itu dicapai oleh mereka.

 

Ya benar mereka mungkin dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat kerana kekayaan dan pangkat namun maaf di mata saya itu semua tiada nilainya. Saya memilih jalan yang paling tidak popular dalam kalangan usahawan.

 

 

parafrasa

 

 

Saya memilih untuk tidak mengayakan diri sendiri. Sebaliknya saya akan berusaha keras untuk memastikan Wasiyyah Shoppe Berhad itu yang mendapat segala manfaat supaya ia akan terus wujud dan mampan pada masa hadapan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang menaruh kepercayaan kepadanya.

 

Saya tahu saya tidak hidup menongkat langit. Saya akan mati namun Wasiyyah Shoppe Berhad perlu terus hidup untuk menjalankan amanahnya melewati waktu saya di dunia ini.

 

Berapa puluh juta RM pun yang kita kumpul di dunia ini, kelak kita akan kembali kepada-Nya hanya dengan kain kapan di badan.

 

Diperoleh dengan cara yang betul seperti aturan Islam, dinikmati dengan penuh baroqah dan dikongsi dengan orang yang berhaknya, harta yang sedikit walaupun bukan puluhan juta RM itu akan menjadi pelaburan paling bernilai untuk kita di akhirat.

 

Jika sebaliknya, maka harta itu menjadi bebanan mengheret kita ke neraka.          

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews