SEMAKIN PANAS! ISU GHARAR DALAM URUSAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DI MALAYSIA
SEMAKIN banyak saya dihujani kritikan berkaitan isu gharar dalam urusan harta pusaka di Malaysia seperti yang saya ulas pada penulisan yang lepas. Ramai yang tidak suka apabila saya menyentuh isu ini terutamanya pemain indsutri. Kepada mereka masyarakat tidak nampak dan tidak tahu isu ini jadi buat apa nak disentuh.
Ada rakan dalam industri yang telah mengkritik keras kerana saya mengenengahkan isu gharar sedangkan menurut mereka isu yang paling besar yang mesti pemain industri seperti saya utamakan ialah harta pusaka yang tertunggak, waris-waris berbalah dan sebagainya.
Kepada mereka tugas utama kita ialah untuk mendidik umat Islam supaya membuat wasiat kerana wasiat itulah yang dapat menyelesaikan semua masalah harta pusaka. Kenapa mesti disebut isu gharar ini kerana ia tidak sepenting isu orang mati tanpa wasiat!
Lagipun model caj pengurusan harta pusaka mengikut peratusan seperti yang saya sentuh dalam penulisan sebelum ini, adalah amalan yang sudahpun diterima di dalam industri serta tidak bercanggah dengan undang-undang.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, saya menghormati pandangan semua pihak. Saya percaya semua pihak berhak untuk memberikan pandangan mereka serta mengamalkan apa sahaja bentuk caj pengurusan harta pusaka yang mereka selesa asalkan ia berada di dalam ruang lingkup undang-undang Malaysia.
Saya juga percaya semua pemain industri mempunyai niat baik yang sama iaitu untuk membantu umat Islam merancang harta supaya harta pusaka mereka kelak tidak tertunggak dan menambah burukkan lagi situasi sedia ada.
Namun dari sudut caj pengurusan harta pusaka ini saya memilih untuk berbeza pandangan dengan industri. Kenapa?
Kerana selama 25 tahun semenjak terlibat dalam industri ini, saya memerhatikan pemain industri apabila bertemu masyarakat untuk bercerita tentang isu harta pusaka orang Islam, hujah yang selalu dimainkan ialah hujah agama. Dibacakan ayat Al-Quran, hadith dan pandangan ulama tentang betapa harta ini adalah amanah dan kita bertanggungjawab untuk merancang harta kita sebaiknya mengikut hukum Syarak.
Diposisikan bahawa tindakan merancang harta melalui dokumen wasiat, hibah atau apa sahaja dokumen adalah satu tanggungjawab bagi memelihara kemaslahatan waris-waris dan juga mendaulatkan fiqh mawarith.
Tetapi apabila berlaku kematian dan harta pusaka itu diuruskan, terselit pula unsur gharar di situ terutama dari segi proses perundangan dan caj pengurusan harta pusaka yang tidak telus dan membebankan waris-waris.
Gharar seperti yang kita ketahui ialah unsur ketidakjelasan dan ketidakpastian dalam transaksi muammalat. Kekaburan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti nilai, jumlah, pemasaan, bentuk barang/perkhidmatan yang dibeli dan sebagainya.
Di dalam urusan harta pusaka di Malaysia, walaupun telah diketahui secara tepat berapakah peratusan yang akan dikenakan sebagai caj pengurusan harta pusaka, namun waris tidak tahu secara tepat berapakah nilai RM yang akan dicaj kerana nilai harta pusaka simati itu berubah-ubah dari masa ke semasa. Tidak diketahui juga apakah dan berapakah caj-caj rampaian lain yang akan dikenakan seperti fi guaman, fi carian, fi perbatuan dan sebagainya.
Antara kritikan yang dilemparkan kepada saya ialah isu gharar seperti di atas yang saya sentuh ini hanyalah gharar yassir iaitu gharar ringan yang dibenarkan oleh Islam dan panel syariah organisasi masing-masing tiada masalah dengannya, namun saya hujahkan kembali jika caj pengurusan harta pusaka itu boleh dibuat secara telus dan tepat, kenapa pula kita nak terlibat juga dengan unsur gharar?
Bukankah mencegah mudarat itu lebih baik daripada terpaksa mendepaninya? Inilah prinsip la darar wa la darir yang saya ulas di dalam penulisan sebelum ini. Secara logiknya, tidakkah ini satu ironi? Kita menyeru umat Islam supaya membuat wasiat, hibah dan sebagainya dan mengaitkannya dengan agama namun apabila sampai tahap pelaksanaan, kita menolak pula seruan agama supaya gharar dielakkan?
Analoginya ialah kita membawa anak ke masjid untuk mendidik dia menjadi seorang muslim yang baik tetapi apabila dia balik dengan memakai selipar milik orang lain dengan alasan tindakannya itu tidak dapat dielak kerana selipar dia juga telah dicuri orang lain, kita katakan pula padanya,
“Tidak mengapalah wahai anak. Niat kamu datang ke masjid untuk beribadat itu pun sudah cukup baik dan insya-Allah akan diterima oleh Allah SWT. Isu kamu curi selipar orang lain ni isu kecil saja. Yang penting kamu pergi ke masjid!”
Bolehkah begitu? Kita nak mengajar anak kita supaya taat kepada agama tapi dalam masa yang sama memandang enteng perbuatannya yang bercanggah dengan agama?
Saya bukan agamawan, namun saya sangat percaya dan yakin bahawa apa sahaja tindakan kita di atas mukabumi ini, kita akan dipertanggungjawabkan ke atasnya oleh Allah SWT kelak. Saya lebih takut untuk bersoal-jawab dengan Allah SWT kenapa ada unsur gharar dalam caj pengurusan harta pusaka kami berbanding dengan perlu bersoal-jawab dengan manusia tentang isu ini.
Kerana itulah semenjak penubuhannya pada 2004, saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap Wasiyyah Shoppe Berhad telah cuba sedaya-upaya (melalui Panel Syariah yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman di dalam hukum syarak dan undang-undang berkaitan penghartaan di Malaysia) untuk memberikan perkhidmatan yang sepenuhnya patuh Syariah kepada rakyat Malaysia.
Kepatuhan syariah ini bukan sahaja dari sudut pembangunan produk dan operasi perkhidmatan sahaja, malah ia merangkumi juga caj pengurusan harta pusaka yang tiada unsur gharar.
Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita supaya jangan mengambil Islam ini sekerat-kerat ? Al-Baqorah ayat 208, Allah SWT telah mengingatkan kita :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
Yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.
Namun saya akui, akhirnya masyarakatlah yang membuat pilihan sama ada dalam urusan harta pusaka ini, mereka mahu mengelakkan sepenuhnya unsur gharar atau mereka ok sahaja ada unsur gharar sikit-sikit kerana ia isu gharar yassir.
Tanggungjawab saya sudahpun selesai kerana saya sudah menyampaikan ilmu ini. Tepuk dada tanya iman, jangan tanya selera kerana selera itu paksinya ialah nafsu!
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH