SUAMI BERPOLIGAMI MESTILAH BIJAKSANA DAN ‘BIJAKSINI’ TETAPI JANGAN SAMPAI ‘BIJAKSITU’!
ARTIKEL ini terkait dengan artikel saya minggu lepas iaitu stres suami yang berpoligami. Mungkin ada pembaca yang merasakan saya ‘obses’ tentang topik poligami ini.
Kepada yang mempunyai persepsi negatif, saya ingin jelaskan sejelas-jelasnya bahawa saya tidak anti poligami kerana ia adalah sesuatu yang dibenarkan agama dan jika dilaksanakan dengan baik seperti yang sepatutnya, manfaat dan hikmahnya pasti seluas alam.
MINGGU LEPAS: LELAKI BERPOLIGAMI LEBIH STRES DARI LELAKI MONOGAMI?
Agama itu nasihat. Maka saya ambil pendirian bahawa saya mesti terus memberikan nasihat kepada para suami yang berpoligami terutamanya berkaitan isu harta pusaka walaupun saya sendiri tidak sempurna dan pastinya tidak tahu semua perkara.
Nasihat ini saya tujukan khusus untuk kawan-kawan yang mengenali saya dan umumnya kepada semua para suami di luar sana.
Pengalaman saya selama 26 tahun di dalam industri perancangan harta menunjukkan bahawa kes harta pusaka suami yang berpoligami ialah antara yang paling kritikal.
‘Perang’ yang berlaku dalam urusan harta pusaka ini sangat ‘fierce’ dan menjadi perbalahan yang diketahui masyarakat umum sehingga menjejaskan nama baik si suami yang telah meninggal dunia. Semua cerita di dalam kain terdedah.
“Dia berjaya nikah dengan suami saya pun sebab dia gunakan bomoh. Dia bukan sayang pun dengan orang tua tu cuma sekadar nak kikis harta!” Dakwa isteri pertama.
“Saya pun ada hak sebagai isteri yang sah. Takkanlah saya dan anak-anak tiada hak ke atas harta pusaka suami saya. Madu saya tamak dan bolot segala-galanya. Anak-beranak makan harta haram!” Dakwa isteri kedua.
Anda rasa skrip di atas ini skrip drama semata-mata? Ia sebenarnya skrip realiti yang kerap saya dengar daripada kedua-dua isteri.
Anda rasa jika sesuatu persepsi sudah pun terbina semasa hidup si suami, dapatkah persepsi ini dihapuskan sekelip mata selepas kematian suami?
Bolehkah para isteri ini kerana kesedihan akibat kematian suaminya akan tiba-tiba dapat berkompromi tentang urusan harta pusaka?
Tambahan pula apabila mereka mengetahui bahagian mereka adalah sama banyak di antara isteri pertama dan isteri kedua?
Tambah menerukkan keadaan apabila isteri pertama tiada anak lelaki atau tiada anak sedangkan isteri kedua ada anak lelaki? Agaknya bolehkah kita mendengar skrip:
“Tak apalah dik. Anak-anak adik masih kecil lagi kasihan mereka. Kakak serahkan bahagian harta pusaka ini kepada adik untuk meneruskan kehidupan.” Kata isteri pertama.
“Saya rasa kakaklah yang paling berhak ke atas harta pusaka ini kerana kakaklah yang telah hidup puluhan tahun di samping abang. Banyak pengorbanan kakak kepada abang. Maka kakak ambillah bahagian ini,” kata isteri kedua.
Jika skrip yang di awal artikel ini saya katakan ia skrip realiti, skrip para isteri bertolak-ansur ini pula ialah skrip fantasi!
Setakat pengalaman 26 tahun saya bekerja di dalam bidang ini, saya tidak pernah berjumpa keadaan ini para isteri berkompromi seperti ini!
Sebenarnya apabila kes harta pusaka suami yang berpoligami ‘meletup’, saya tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan itu kepada isteri pertama atau isteri kedua kerana apabila kita menggunakan perasaan ‘empathy’ dan meletakkan diri kita di tempat mereka, persepsi itu ada kewajarannya.
Saya meletakkan kesalahan itu kepada suami! Suami yang berpoligami mestilah ‘bijaksana’ dan ‘bijaksini’.
Sesetengah kawan-kawan yang mendengar saya menggunakan terma ini sambil tergelak bersetuju dan mengatakan mereka memang ada sifat itu cumanya mereka merujuknya kepada skil untuk menyelamatkan diri sendiri daripada isteri ‘sana’ dan isteri ‘sini’.
Secara sinis saya juga tergelak sambil mengatakan kalau skil itu sudah ada jangan sampai ada ‘bijaksitu’ (isteri ketiga) pula!
Apa yang saya maksudkan dengan ‘bijaksana’ dan ‘bijaksini’ ialah selain daripada berlaku adil, suami mesti bersungguh-sungguh memainkan peranan memimpin dan menjaga kepentingan kedua-dua keluarganya.
Suami mesti berusaha sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik dalam menjaga hati kedua-duanya.
Memberi yang terbaik di sini bukan sahaja bermaksud memberi nafkah batin atau kehidupan yang selesa sahaja malah lebih besar daripada itu, suami mestilah memberi jaminan emosi dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dengan sentiasa berada di sisi kedua-dua keluarga melalui semua detik kehidupan, bahagia atau ketika ujian melanda. Ini perkara yang paling susah untuk dilakukan.
Ramai kawan yang berada dalam keadaan ini menceritakan kepada saya betapa rumitnya kehidupan mereka.
Perkara yang paling asas dalam berpoligami iaitu giliran bermalam pun menjadi isu panas yang sukar dikendalikan apatah lagi isu-isu lain.
Ketika berada di rumah isteri pertama, tiba-tiba isteri kedua menghantar mesej dia sakit. Isteri pertama akan menarik muka bila suami meninggalkannya. Ini antara contoh yang paling mudah saya berikan untuk menggambarkan betapa suami susah untuk ‘bijaksana’ dan ‘bijaksini’.
Suami yang berpoligami perlu pandai mengendalikan stres dirinya dan keluarganya sepanjang dia hidup dan juga selepas dia meninggal dunia!
Namun stres itu akan berpanjangan walaupun selepas suami itu meninggal dunia tetapi kali ini stres itu akan jatuh kepada isteri dan anak-anaknya iaitu bagi urusan harta pusaka pula.
Semenjak 1998, saya telah secara konsisten menyeru supaya para suami yang berpoligami segera merancang harta mereka.
Jika ketika mereka masih hidup pun keluarga-keluarganya sudah tidak bertegur-sapa dan bermasam muka, selepas mereka meninggal dunia, perang besar PASTI akan meletus tanpa mengira nilai harta pusaka yang ditinggalkan itu besar atau kecil.
Jadi apa yang perlu dilakukan oleh suami yang berpoligami? Anda sudahpun berada di dalam keadaan ini. Anda tidak boleh mengundur masa dan ‘undo’ apa yang telahpun berlaku. Anda tiada pilihan kecuali untuk bergerak ke hadapan.
Saya percaya anda sayangkan kedua-dua keluarga anda sepenuh hati dan akan berbuat apa sahaja untuk mereka.
Bagi mengelakkan risiko harta pusaka anda bermasalah, rancanglah harta anda di Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini.
Sebagai syarikat amanah dengan 20 tahun pengalaman, kami dapat membantu anda merancang harta dengan kaedah Syariah paling tepat dan strategik melalui lebih daripada 47 solusi perancangan harta.
Barang perlu saya ingatkan, wasiat sahaja tidak membantu kerana suami yang berpoligami ini keadaannya rumit dan setiap satu kes unik. Ia memerlukan bentuk perancangan komprehensif yang memenuhi keperluan dan hasrat suami untuk setiap keluarganya.
Temuilah kami melalui daie-daie terlatih kami di seluruh Malaysia untuk mendapatkan penyelesaiannya.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH