3 PRK: Anwar berdepan pilihan ekonomi yang sukar, kata Sin Chew Jit Poh
Sin Chew Jit Poh 2-3 September 2023
PADA awalnya selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir, segala aktiviti politik sepatutnya berakhir tahun ini. Namun berlaku kejadian yang di luar jangkaan, membawa kepada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor dan kemudian di Pahang.
Keadaan ini membuatkan pelaksanaan dasar makro Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak akan terganggu oleh siri PRK ini.
Sudah tentu tidak kira siapa menang atau kalah dalam tiga PRK ini, tidak akan menjejaskan pemilikan kuasa Persekutuan dan negeri.
Namun, sekiranya calon-calon Kerajaan Perpaduan kalah dalam 3 PRK ini pastinya akan menyebabkan ahli politik Kerajaan Perpaduan menjadi panik.
Mereka akan menjejaskan pelaksanaan dasar khususnya reformasi ekonomi, yang akan menyebabkan prospek negara menjadi lebih teruk dan malap.
Tahun kritikal bagi PMX
Sebenarnya, tahun ini adalah tahun yang sangat kritikal bagi Anwar. Pertama, sepatutnya tidak akan ada krisis politik yang berlaku selepas enam PRN.
Oleh itu, jika Anwar ingin memperkenalkan dasar-dasar yang perlu untuk melucutkan kepentingan sesetengah pihak, ini adalah masa yang terbaik.
Keduanya, jarak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang masih ada empat tahun lagi. Jadi sebarang kesan negatif daripada pembaharuan yang dilakukan, mempunyai masa yang mencukupi untuk dihadam oleh orang ramai.
Impak positif pula akan mempunyai masa yang mencukupi untuk menapai dan akhirnya rakyat yang akan benar-benar mendapat keuntungan daripadanya.
Kita imbau sejenak, jika bekas PM, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejurus selepas PRU2013 dan bukannya menangguhkan pelancaran sebenar pada 2015.
Mungkin dengan lebih masa untuk meredakan kejutan ekonomi, BN mungkin tidak kalah sepenuhnya pada 2018.
Jika dibandingkan dengan era Najib, kemelut ekonomi di depan Anwar hari ini adalah lebih rumit.
Dasar membebankan yang perlu dilucut
Pertama sekali, sistem subsidi sejagat telah menyebabkan beban yang besar kepada kewangan negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada separuh pertama tahun ini ada mengumumkan bahawa menjelang akhir tahun, kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada sistem subsidi sejagat jangka panjang.
Ini bermakna kerajaan akan memansuhkan sistem B40, M40 dan T20 yang telah lama wujud. Kerajaan akan mentakrifkan semula pendapat individu dan isi rumah menerusi sistem data berpusat, melaksanakan penyepaduan pendapatan rakyat dan perbelanjaan.
Kemudian memperkenalkan subsidi bersasar supaya hanya individu dan keluarga yang benar-benar memerlukan sahaja yang mendapat menfaat daripada subsidi kerajaan.
Gelombang pertama pelan pelaksanaan dijangka menyasarkan harga elektrik dan petrol. Walaupun langkah ini akan mewujudkan sistem ekonomi yang lebih munasabah dan adil, namun pastinya akan mencetuskan rasa tidak puas hari yang meluas terhadap kerajaan khususnya golongan yang pertengahan berpendapatan sederhana.
Di samping itu, kerajaan juga secara tentatif ada menyatakan hasrat untuk memulihkan semula GST kerana mempunyai asas cukai yang lebih luar berbanding cukai jualan.
Pelaksanaannya pasti akan menyumbang lebih banyak hasil cukai kepada kerajaan yang kini kekurangan tunai.
Tetapi pengajaran Najib masih jelas di depan mata. Ketidakfleksibelan dan kelembapan mekanisme rabat cukai telah menyekat aliran tunai industri dan perdagangan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Keadaan tersebut memaksa mereka menaikkan harga jualan barangan untuk menambah tunai dalam tangan.
Selapis demi selapis, akhirnya menjadikan inflasi pada tahun itu hampir tidak terkawal dan menanam benuh kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.
Dilema ekonomi PMX
Adakah Anwar mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan dua dasar yang sangat tidak popular ini tetapi dalam masa yang sama ia diperlukan?
Di hadapan Anwar kini adalah ‘dilema’. Jika tidak dilaksanakan, kerajaan pastinya tidak akan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk mempromosikan lebih banyak dasar ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat, dan ini akan berlarutan untuk empat tahun akan datang. Akhirnya pengundi akan menyingkirkan beliau pada PRU akan datang.
Bagaimanapun sekiranya mahu ia dilaksanakan, lagi cepat adalah lebih baik. Supaya kerajaan mempunyai lebih banyak masa penampan sebelum titik kritikal PRU.
Malangnya rancangan ini terus terhalang oleh beberapa siri pilihan raya. Keputusan enam PRN sudah tentu memberi sedikit kebimbangan kepada Anwar.
Sekiranya tiga PRK akan datang dan Kerajaan Perpaduan sekali lagi menerima serangan sengit Perikatan Nasional (PN). Nescaya Anwar akan memilih untuk menjadi lebih populis dan lebih selamat dari segi politik, maka reformasi ekonomi mungkin tidak akan berlaku.
Jika dasar-dasar tersebut tidak dibaiki juga pada tahun ini, Anwar pastinya akan mengulangi kesilapan Naijb dan akan tewas dalam PRU akan datang.
‘Malaysia Madani’ boleh buka jalan kemakmuran negara
Hari ini dalam berdepan dengan masalah sosial domestik yang semakin berpolarisasi, ‘Malaysia Madani’ yang menekankan keadilan, toleransi sosial, komited terhadap integrasi pelbagai kaum, dan persefahaman dalam kalangan etnik dan agama.
Tetapi apa yang turut membimbangkan ialah perbezaan politik yang berlebihan juga boleh menyebabkan ketegangan antara kaum.
Jadi Kerajaan Perpaduan perlu mengambil langkah lebih aktif untuk menggalakkan toleransi bagi memastikan rakyat yang berbeza latar belakang mendapat peluang yang sama dalam pembangunan negara.
Masalah serius seperti perpecahan politik dan rasuah, kerajaan boleh mengurangkan kesan negatif terhadap pembangunan negara dengan menggalakkan reformasi politik dan meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus.
Tidak salah jika Anwar mahu memberi tumpuan kepada masyarakat Melayu untuk meraih lebih banyak undi. Tetapi, dalam masa yang sama kerajaan tidak boleh mengabaikan kepentingan komunikasi politik.
Sebelum melaksanakan apa-apa dasar, ia mesti jelas tentang kesan politik yang akan ditimbulkan oleh dasar tersebut.
Dan mempunyai mekanisme tindak balas sokongan untuk menyelesaikan pertikaian dan salah faham. – DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 2 & 3 September 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA