Fakulti Perniagaan dan Perakaunan PUO guna teknologi pembelajaran pintar, VR di kampus baharu | DagangNews Skip to main content

Fakulti Perniagaan dan Perakaunan PUO guna teknologi pembelajaran pintar, VR di kampus baharu

Kampus PUO Cawangan Bercham menempatkan lima program diploma di bawah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 21 Jan - Penggunaan teknologi pintar termasuk pembelajaran secara realiti maya atau ‘Virtual Reality’ (VR) digunakan Politeknik Ungku Omar (PUO) pada kampus cawangan baharunya di Bercham.

 

Kemudahan ini bagi menjadikan pembelajaran pelajar Fakulti Perniagaan dan Perakuan di kampus tersebut menepati dengan kehendak pasaran kerja semasa.

 

Ini bakal menyediakan graduan yang dilengkapi dengan pengetahuan terkini dalam bidang perniagaan dan perakaunan menerusi pembelajaran lebih interaktif.

 

Ketua Jabatan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan PUO, Azahar Mohammed berkata, kelengkapan utama ialah 6 buah bilik Technology-enable Collaborative Classroom (TeCC) yang bakal dilengkapi dengan peralatan VR.

 

Perak
Dewan kuliah dengan ciri-ciri moden menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran di kampus baharu PUO lebih menarik.

 

Perak
Dewan kuliah sedia ada di Kampus PUO Ipoh.

 

Menurut beliau, kelengkapan TeCC termasuk pelbagai teknologi dan perabot yang direka untuk memudahkan interaksi, kolaborasi dan pembelajaran berasaskan teknologi. 

 

“Antara kemudahannya seperti papan tulis pintar, peranti pelajar iaitu tablet dan komputer riba, perabot mudah alih, sistem audio visual dan internet berkelajuan tinggi.

 

“Kita menyediakan aplikasi dan platform seperti Google Classroom, Microsoft Teams atau platform LMS (Learning Management System) yang membolehkan pengajaran, pembelajaran.dan kolaborasi secara efektif,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Menjelaskan lebih lanjut, kata Azahar, penerapan VR mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran terutamanya dalam bidang kewangan dan perbankan.

 

“Pihak PUO masih dalam perancangan untuk memilih teknologi VR yang terbaik sama ada teknologi tempatan atau luar.

 

Perak
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah (kanan) melihat Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Kebudayaan Republik Demokratik Timor-Leste, José Honório Jerónimo da Costa Pereira menggunakan peralatan VR semasa mengadakan lawatan kerja ke kampus itu Disember lalu. Aplikasi VR telah digunakan secara meluas dalam pembelajaran di kampus PUO. 
 

 

Perak

 

“VR membolehkan simulasi situasi sebenar yang interaktif seperti latihan untuk transaksi perbankan yang kompleks, sebagai contoh prosedur menguruskan permohonan pinjaman dan juga transaksi pertukaran matawang asing. 

 

“Dengan adanya teknologi VR ini pelajar boleh mendapatkan pengalaman sebenar secara praktikal dan tanpa risiko,” jelasnya.

 

Latihan kolaboratif VR pula membolehkan pelajar berinteraksi antara satu sama lain dalam ruang maya. 

 

Kampus ini juga mempunyai ruang-ruang kuliah yang diinspirasikan daripada ruang bank sebenar seperti bilik simulasi bank.

 

Menurut Azahar, kemudahan bilik simulasi bank menyaksikan PUO melangkah kehadapan sepertimana beberapa institusi pengajian tinggi lain yang menawarkan pengajian perbankan.

 

 

Perak
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir (lapan dari kiri) semasa merasmikan Kampus PUO Cawangan Bercham.
 
 

 

Perak

 

“Bilik simulasi perbankan ini adalah ruang/platform memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan pengoperasian perbankan. 

 

“Ia mempunyai ruang kaunter/teller, ruang bersama pelanggan dan juga ruang perbincangan untuk kegunaan pensyarah dan pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

 

“Ini juga sebagai platform kepada industri untuk berkongsi kepakaran berkaitan kewangan dan perbankan,” ujarnya.

 

Kampus PUO Cawangan Bercham yang menelan kos RM27.1 juta siap sepenuhnya pada Disember lalu dan baru dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

 

Kampus ini dapat menampung 1,200 pelajar bagi 5 program diploma iaitu perakaunan, pengajian perniagaan, kewangan, kewangan islam dan pengurusan peruncitan.

 

Kemasukan pelajar akan dilakukan secara berfasa mulai Februari ini dan dijangka sepenuhnya pada Ogos. - DagangNews.com