Jumlah transaksi Boost melebihi RM5 bilion pada 2024 disokong oleh penggunaan pembayaran QR dan pinjaman digital  | DagangNews Skip to main content

Jumlah transaksi Boost melebihi RM5 bilion pada 2024 disokong oleh penggunaan pembayaran QR dan pinjaman digital 

(Dari kiri) Ketua Pegawai Komersial Boost, Gurpreet Khera; Ketua Pegawai Kewangan Boost, Alex Ng; CEO Boost Life, Ungku Liza; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon; CEO Boost Bank, Fozia Amanulla; Ketua Pegawai Eksekutif Boost Connect, Ankur Jakhwal; Ketua Pegawai Pemasaran Boost, Diana Boo dan Ketua Pegawai Teknologi dan Ketua Serantau Boost Pinjaman Pengguna, Karthik Bhaskaran
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - Boost mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) dengan jumlah transaksi tahunan mengatasi RM5.6 bilion pada 2024 dipacu oleh penggunaan pembayaran QR dan pinjaman digital meluas. 

 

Peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau itu juga memperoleh deposit berjumlah lebih daripada RM700 juta dalam enam bulan pertama operasi. 

 

"Boost PayFlex berjaya mencatatkan pertumbuhan yang mengagumkan meskipun lewat memasuki segmen Buy Now, Pay Later (BNPL).

 

"Produk patuh Syariah ini telah memperoleh lebih daripada 121,000 pelanggan dan mengagihkan lebih daripada RM240 juta sejak dilancarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Di samping itu, pelancaran Boost Bank yang menggabungkan pendekatan perbankan digital seperti pembukaan akaun RM1, kadar faedah harian yang kompetitif dan Savings Jar mampu memperkasakan pengguna dan peniaga. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla berkata, dengan mengintegrasikan rumusan digital inovatif bagi memenuhi keperluan komuniti, ia membuka lembaran baharu dalam merangka konsep perbankan.  

 

Selain daripada menyediakan pendekatan bank digital, Boost juga memperluaskan portfolio pembiayaannya yang melangkaui RM5 bilion dalam pinjaman yang disalurkan di Malaysia dan Indonesia, memberi manfaat kepada ribuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

Katanya, rangkaian rumusan ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pendanaan dan memastikan pertumbuhan mampan bagi pelanggan PMKS.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pencapaian Boost pada 2024 mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju fintech. 

 

"Pertumbuhan kami mencerminkan kepercayaan pengguna dan rakan kerja kami, di samping permintaan rumusan kewangan digital inovatif yang semakin meningkat. 

 

"Dengan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kami termasuk pembiayaan, perkhidmatan gerbang pembayaran, deposit dan pelaburan yang ditawarkan, kami berada pada kedudukan unik untuk menjana impak bermakna kepada perniagaan kecil dan pengguna individu," katanya. - DagangNews.com