Apakah kejutan di dalam Bajet Kerajaan Perpaduan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 18 February 2023

Apakah kejutan di dalam Bajet Kerajaan Perpaduan?

Sin Chew Jit Poh & Nanyang Siang Pao 13 - 17 Feb 2023

 

 

 

BAJET pertama Kerajaan Perpaduan akan dibentangkan tidak lama lagi. Ramai yang percaya bahawa bajet ini pada asasnya adalah untuk mencari kestabilan dan mesra rakyat.

 

Dari perspektif kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tujuan utama bajet ini adalah bukan untuk menambahkan beban rakyat. Sebagai kerajaan baharu, penyokong pastinya dahagakan pembaharuan.

 

Bagi puak konservatif pula, akan sentiasa memantau setiap langkah kerajaan dengan teliti. Antara yang menjadi tumpuan adalah pelaksanaan dasar ekonomi, kumpulan etnik dan juga pendidikan.

 

Sudah tentu Anwar juga sedia maklum bahawa walaupun keadaan sekarang kelihatan tenang, tetapi terdapat arus bawah yang bergelora secara diam-diam dan kedudukan kerajaan baharu sebenarnya sedang diuji.

Belanjawan2023

Tidak kira sama ada bajet kali ini berpaksikan pilihan raya atau tidak, ramai yang sudah tidak ambil peduli mengenainya.

 

Apabila rakyat dalam keadaan tertekan dengan harga barangan yang tinggi, apa yang menjadi tumpuan adalah bagaimana dan apa langkah baharu yang akan diumumkan kerajaan untuk mengurangkan tekanan inflasi.

 

Bajet kali ini mungkin masih lagi bajet defisit dan kesan fiskal terhadap negara masih ada.

 

Jadi, dalam situasi sekarang kerajaan perlu memperkenalkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, bagi mengelakkan rasa tidak puas hati.

 

Keberkesanan bajet pilihan raya

Kerajaan terdahulu pimpinan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri telah membentangkan bajet pada 7 Oktober 2022 (Jumaat).

 

Kemudiannya beliau mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober (Isnin) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

 

Boleh dijangkakan bajet yang dibentang itu tiada cacat cela dan cukup membuktikan Ismail Sabri menggunakannya sebagai seruan kepada pengundi, jika mereka berpuas hati maka ‘tolong undi kami!

 

Tidak dinafikan selepas pembentangan bajet versi Ismail Sabri, beliau menang cantik di kawasannya sendiri. Malah Perikatan Nasional sebagai parti pemerintah turut berjaya mencetuskan tsunami hijau.

 

 

media

 

 

Sebaliknya UMNO sebagai sebahagian kerajaan mencapai rekod paling terburuk dalam sejarah.

 

Oleh kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang bakal diadakan, jadi tidak hairanlah ada segelintir pihak berpendapat bajet kerajaan baharu juga adalah sebuah bajet pilihan raya. 

 

Namun dalam menghadapi situasi politik yang rumit hari ini, walaupun ia dipanggil bajet pilihan raya, impaknya terhadap undi adalah terhad.

 

Sukar tawan Kelantan, Terengganu dan Kedah

Bajet Kerajaan Perpaduan tidak akan memberi kesan kepada enam PRN yang akan datang.

 

Jika melihat kepada situasi semasa, bukan satu tugas mudah untuk menakluki tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 

Sementara itu bagi tiga negeri yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ini, Negeri Sembilan dan Selangor bakal berdepan dengan cabaran yang hebat. Manakala Pulau Pinang mudah sahaja dipertahankan.

 

 

parafrasa

 

 

Menang kalah NS dan Selangor beri kesan kepada kerajaan pusat

Anwar berharap melalui bajet ini, tiga negeri yang dikuasai PH akan menang dan mendapat sedikit keuntungan daripada tiga negeri Perikatan Nasional.

 

Kemenangan atau kekalahan di Negeri Sembilan dan Selangor secara langsung akan memberi kesan kepada kerajaan pusat.

 

Selangor adalah negeri terkaya di negara kita, jika kehilangan kuasa maka ia sama seperti mengisytiharkan bahawa PH sudah hilang sokongan dan kepercayaan rakyat.

 

Negeri Sembilan bukan sahaja ia ditadbir oleh PH tetapi juga merupakan kubu Timbalan Presiden UMNO. Jika kalah bermakna rakyat tidak lagi menyokong PH dan pada masa sama menolak UMNO.

 

Bajet baru mungkin ada ‘kejutan’

Oleh kerana PM Anwar Ibrahim telah berulang kali menyatakan bahawa menyatakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan diperkenalkan semula tahun ini, maka kerajaan perlu mempunyai sumber lain untuk menjana lebih banyak pendapatan.

 

Aliran hasil ini termasuklah pelepasan cukai tertentu dalam era pandemik telah tamat, cukai kemampanan, peningkatan pematuhan pembayar cukai dan menangani kelemahan dalam proses pembiayaan perolehan awam.

 

 

media

 

 

Dalam hal ini, penganalisis CIMB Investment Bank percaya akan terdapat pengumuman beberapa ‘kejutan’ cukai dalam bajet baharu ini kerana kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan.

 

Selain itu, cukai kemakmuran mungkin akan kembali dalam bentuk lain, lagipun kerajaan baharu tidak perlu bertanggungjawab terhadap janji kerajaan terdahulu.

 

Cukai baharu yang kemungkinan akan diumumkan antaranya cukai ke atas orang kaya seperti cukai harta pusaka dan cukai ke atas dividen atau cukai keuntungan modal.

 

Raih sokongan dengan dasar mesra rakyat

Pada asasnya bajet yang akan diumumkan kelak adalah kesinambungan dasar kerajaan terdahulu dan sudah tentu ada penambahan lagi dasar mesra rakyat.

 

Ini akan menyedarkan rakyat bahawa kerajaan baharu sedang giat menjaga rakyat melalui dasar-dasar yang akan memberi manfaat di dalam bajet ini nanti.

 

Bagi PRN di enam negeri, akan memberi tekanan kepada operasi kerajaan baharu dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

 

media

 

 

Malah ia juga merupakan pertempuran pertama kerjasama antara PH dan BN untuk menentang Perikatan Nasional.

 

Sekiranya PRN kali ini tewas, bermakna pengundi Melayu akan terus condong ke arah konservatisme.

 

Daripada bajet sehinggalah kepada pelaksanaan dasar masa depan, Anwar sebagai PM perlu berhati-hati dan juga mesti menstabilkan kekuatan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan.

 

Jika tidak kerajaan baharu mungkin akan hilang sekali lagi. – DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 13-17 Februari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags