KUALA LUMPUR 30 Nov - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Hanafiah Man sebagai Ketua Pengarah baharunya berkuatkuasa 2 Disember 2024.
Jawatan ketua pengarah tersebut kosong sejak persaraan penyandangnya, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi pada September lalu.
Surat lantikan diserahkan kepada Mohd Hanafiah oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Khair Razman Muhamad Annuar pada Jumaat.
Dalam catatan di laman Meta KKDW, kementerian tersebut mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga dengan pelantikan Mohd Hanafiah akan dapat memperkasakan lagi fungsi dan peranan KEMAS sebagai `Penggerak Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar dan Memperkasa Masyarakat Luar Bandar Ke Arah Pembangunan Holistik'.
Mohd Hanafiah merupakan Pengerusi Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan pernah bergelar wartawan di Utusan Melayu pada 1990 sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam arena politik termasuk pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda Keadilan, Ketua Pemuda Keadilan Perak, antaranya.
Mengulas mengenai pelantikannya, Hanafiah memohon mendoakan agar beliau dapat melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya.
"Memimpin jabatan membangunkan masyarakat adalah tanggungjawab besar bagi membentuk kehidupan bernegara yang memiliki adab dan kesopanan di samping menerima kemajmukan bumi bertuah ini.
"Setinggi terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kerpercayaan dan amanah yang dipertanggungjawabkan," kata beliau dalam laman Metanya. - DagangNews.com