Kaji selidik Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan: Mengapa melatah?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 4 March 2023

Kaji selidik Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan: Mengapa melatah? 

Sin Chew Jit Poh 1-2 Mac 2023

 

 

SATU Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, telah dijalankan oleh lima media tempatan iaitu Sin Chew Jit Poh, Sinar Harian, Awani, The Star dan Malaysia Namban dengan kerjasama firma penyelidikan O2 Malaysia.

 

Hasil dapatan tinjauan memperlihatkan beberapa keputusan di luar jangkaan telah diperoleh dalam beberapa isu yang dikemukakan.

 

Tetapi apa yang lebih menarik ialah reaksi sesetengah orang terhadap keputusan tinjauan, ada yang terus melatah dan ada yang tidak sabar-sabar untuk menafikan.

 

Malah ada yang menegaskan bahawa tinjauan tersebut mempunyai tujuan dan agenda yang telah ditetapkan.

 

Latar belakang kaji selidik pakatan media

Sudah tentu ramai pembaca tahu seawal tahun 2022, akhbar Sin Chew telah membentuk satu pakatan media bersama The Star, Sinar Harian dan stesen TV Astro Awani. Dari semasa ke semasa akan merancang dan bekerjasama mengupas berita, isu dan juga topik khas.

 

Kerjasama pertama yang dijalankan adalah pada Feb 2022 dengan topik popular pada masa itu: Undi 18, Negara Saya Pilihan Saya.

 

Menerusi topik ini, temu bual telah diadakan dengan anak muda dari semua kumpulan etnik dan juga orang ramai dari semua lapisan masyarakat. Menghurai pandangan menyeluruh mereka berhubung isu ini termasuk impak undi anak muda kepada pilihan raya umum akan datang.

 

Kemudian selepas laporan berkaitan diterbitkan, beberapa pembaca ‘mengadu’ kepada Sin Chew berhubung kekurangan suara kaum India. Lantas akhbar Tamil, Malaysia Namban dipelawa bersama bagi membolehkan pandangan masyarakat India juga didengari. Secara langsung mencerminkan pandangan semua rakyat Malaysia dengan lebih menyeluruh.

 

Pemilihan topik perbincangan adalah berkaitan dengan kepentingan negara, masyarakat dan orang ramai. Dan salah satu hasratnya adalah untuk mencerminkan pendapat umum secara menyeluruh kepada pihak yang berkuasa melalui laporan pakatan media, agar mereka dapat memberi lebih perhatian kepada isu dan suara rakyat.

 

Tinjauan pendapat sebelum PRU

Pada Oktober 2022 sebelum pilihan raya umum diadakan, lima pakatan media utama memutuskan untuk melancarkan topik ‘Apa yang rakyat mahukan’. Melalui temu bual bersama pakar, sarjana dan semua lapisan masyarakat, menyampaikan suara hati kepada ‘pemerintah masa depan’ dan memberitahu isu-isu yang paling dibimbangi rakyat.

 

Selain itu, tiga agensi penyelidikan turut dijemput untuk membantu menjalankan tinjauan soal selidik bagi meramal pendapat umum dan melihat tahap sokongan terhadap parti politik di kalangan pengundi pelbagai kaum. Responden meliputi semua lapisan kaum; pengundi di Semenanjung dan Malaysia Timur; bandar dan luar bandar; umur dan juga tahap pendidikan.

 

Walaupun keputusan tinjauan pendapat ini tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar 100%, namun ia mencerminkan suara responden. Dan yang paling penting, ia adalah bahan rujukan dan parti politik boleh menggunakannya merancang kemenangan.

 

Selepas hasil dapatan kajian dikeluarkan, tiada siapa mengatakan media mempunyai niat buruk.

 

Tinjauan 100 hari Kerajaan Perpaduan

Tinjauan dalam talian terhadap 35,077 orang telah dijalankan di seluruh negara antara 6 hingga 16 Februari 2023, menjelang pembentangan bajet kerajaan baharu.

 

Hasil kajian mendapati responden mahu Perdana Menteri (PM) memberi tumpuan kepada kos sara hidup - 80%; pendidikan - 56%; peluang pekerjaan - 53%; kesihatan - 52% dan kestabilan politik - 49%.

 

Manakala 5 kebimbangan utama isu rumah iaitu beban memenuhi keperluan – 80%; simpanan – 61%; beban bayar hutang/pinjaman – 56%; kadar gaji rendah – 53%; pembiayaan pendidikan untuk diri sendiri/anak/keluarga – 52%.

 

Dan terdapat satu maklumat yang tidak menyenangkan iaitu 50% berpendapat pertumbuhan ekonomi tidak dikendalikan dengan baik. Manakala 52% lagi mempunyai sentimen negatif yang sama berhubung bekalan makanan.

 

Dari segi reaksi perkauman, orang Melayu di Semenanjung mempunyai pendapat yang paling negatif terhadap isu-isu utama termasuk keadaan negara dan prospek ekonomi.

 

Sebanyak 54% responden menerima Kerajaan Perpaduan, manakala 47% menyokong Anwar Ibrahim sebagai PM.

 

Tinjauan pendapat sebagai rujukan dasar

Sudah tentu setiap tinjauan pendapat yang dijalankan, pasti adanya pujian dan juga kritikan. Selepas hasil dapatan diterbitkan, ia telah menarik perhatian kerajaan malah timbul reaksi yang tidak dijangkakan. Ada pihak yang meragui ketepatan dan kredibiliti tinjauan dan menganggap media mempunyai agenda tidak baik.

 

Daripada bertindak balas secara emosi dan defensif terhadap tinjauan, kerajaan boleh menggunakan hasil tinjauan untuk mengukur sokongan dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan. Ia boleh digunakan sebagai panduan menggambarkan perasaan rakyat Malaysia terutamanya pengundi Melayu yang dominan.

 

Rakyat perlu belajar menerima

Rakyat juga harus menerima bahawa tiada kerajaan di dunia ini yang boleh melakukan keajaiban dalam tempoh 3 bulan apatah lagi dalam persekitaran ekonomi semasa. Sekarang sesiapa sahaja yang menjadi PM pastinya terkesan kerana jangkaan rakyat adakalanya tidak realistik. Tetapi tidak dapat menafikan bahawa rakyat marhaen benar-benar bergelut dengan bil yang melambung tinggi.

 

Apabila rakyat memberi penilaian dengan tenang dan adil, dapat melihat sebenarnya Anwar dan kerajaan telah cuba sedaya upaya menangani cabaran ekonomi. Seperti yang dapat dilihat dalam bajet baru-baru ini, banyak tumpuan diberikan kepada kumpulan B40 dan M40.

 

Ahli politik juga perlu belajar menerima

Malang sekali bagi seseorang ahli politik apabila enggan mendengar perkara yang betul atau lebih teruk lagi langsung tidak mahu menerima berita buruk. Sikap ini akhirnya akan membawa kepada kegagalan kepimpinan politik.

 

Apabila terikat dengan jadual yang padat terutamanya mereka yang mempunyai jawatan dalam kabinet, seharusnya berada di sekeliling orang-orang yang baik. Paling penting adalah mengelak untuk mendengar kata-kata pengampu yang hanya akan memberitahu perkara yang baik.

 

Dalam hal ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebenarnya tidak perlu mempersoalkan tinjauan yang dilakukan oleh agensi media. Dengan mengatakan bahawa media ini ‘mahu melakukan propaganda atau menipu rakyat’ dan tidak jujur.

 

Apabila bukan lagi pembangkang, perlu sedar bahawa mengkritik lebih mudah daripada dikritik. Sebagai seorang menteri, semuanya perlu dihadam sama ada berita baik atau buruk.

 

Penambahbaikan tinjauan

Tidak dinafikan adanya ketidaksempurnaan, contohnya tidak menjelaskan dalam artikel bahawa ia adalah tinjauan sebelum pembentangan bajet. Apabila banyak dasar dalam bajet belum diperkenalkan, jadi ia tidak boleh dijadikan sebagai asas pemarkahan.

 

Untuk tinjauan yang tidak sempurna atau menyeluruh, media mengakui dan akan memperbaikinya. Tetapi tuduhan palsu media mendapat tekanan luar, tidak dapat diterima kerana pematuhan etika dan tanggungjawab profesional dititikberatkan.

 

Tindakan menuduh media berniat buruk dan memanggil ketua-ketua agensi media dan penyelidikan membuat penjelasan, adalah reaksi yang keterlaluan ibarat menutup telinga daripada mendengar pandangan umum.

 

Sesebuah kerajaan hanya boleh pergi lebih jauh, jika berfikiran terbuka dan secara rasional  melihat dan merujuk tinjauan pendapat. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 1-2 Mac 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

 

Portfolio Tags