OPR: Baik buruk langkah Bank Negara Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 13 May 2023

OPR: BAIK BURUK LANGKAH BNM

Sin Chew Jit Poh, 8  – 12 Mei 2023

 

 

RABU lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) kepada 3.00%.

 

Media telah melabelkan langkah tersebut sebagai ‘kejutan’, kerana seramai 16 daripada 19 ahli ekonomi yang ditemu bual oleh Bloomberg sebelum ini meramalkan BNM akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

 

Kenaikan ini membuatkan peminjam rasa tidak senang duduk. Begitu juga ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan topik ini ibarat jerung yang berkerumun dahagakan darah.

 

Sudah tentu kenaikan ini bermakna hutang isi rumah juga bertambah, satu dasar yang sangat tidak disenangi oleh mereka yang terkesan. Apatah lagi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, pasti ramai yang berminat mengambil kesempatan.


 

BNM

 


Inflasi terlalu sukar ditangani

Mengapa BNM mengambil risiko mengumumkan OPR kepada paras pra-pandemik sebanyak 3%?

 

Walaupun Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mencerminkan harga telah jatuh daripada 4.7% padaa Ogos tahun lalu kepada 3.4% bulan Mac, tetapi ia masih melebihi julat sasaran BNM 2-3%.

 

Kadar faedah penanda aras terus meningkat, selepas BNM melihat kesan sejumlah kenaikan kadar faedah sebanyak 1% selama 4 kali berturut-turut tahun lepas, masih belum mencukupi untuk menangkis tekanan inflasi.

 

Justeru itu, BNM perlu merebut peluang yang baik bahawa pertumbuhan ekonomi pada suku pertama dijangka masih kekal 5%. Secara tegas menaikkan semula kadar faedah penanda aras, selepas menangguhkannya sebanyak 2 kali.

 

Tidak kira sama ada menaikkan kadar faedah atau tidak, BNM sentiasa ada penyelesaian masalah.  Jika ahli politik juga sama-sama profesional, maka kesukaran yang dihadapi oleh negara kita sudah pasti akan berkurangan.

 

Baik buruk kenaikan

Berkenaan dengan pelbagai kelebihan dan kekurangan kenaikan kadar faedah, perbincangan yang berkaitan boleh didapati dengan mudah di media atau internet.

 

Tetapi sama ada kelebihan mengatasi keburukan atau keburukan mengatasi kelebihan bergantung kepada analisis kuantitatif pelbagai kelebihan dan kekurangan.

 

Oleh kerana situasi setiap orang adalah berbeza, kebaikan dan keburukan menaikkan kadar faedah akan memberi kesan kepada orang dan tahap yang berbeza. Sesetengah orang akan mendapat manfaat secara keseluruhan, manakala yang lain akan menderita secara keseluruhan.


 

parafrasa

 


Mengenepikan sudut makro, hanya dari sudut pandangan peniaga dan masyarakat umum. Andainya anda seorang peminjam, kenaikan kadar faedah akan membawa kepada kenaikan kadar pinjaman dan faedah yang perlu dibayar juga akan meningkat, beban pastinya bertambah.

 

Tidak dinafikan sesetengah peniaga mungkin menaikkan harga dan memindahkan kos kepada pengguna.

 

Begitu juga, pinjaman perumahan di Malaysia sentiasa tinggi, jadi kebaikan kenaikan kadar faedah berkemungkinan kurang daripada mereka yang terjejas.

 

Impak kepada orang ramai

Apabila bercakap mengenai kesan kenaikan kadar faedah, perkara pertama yang difikirkan oleh ramai orang ialah pembayaran balik gadai janji bulanan akan meningkat. Tetapi seberapa besar ‘keburukan’ ini?

 

Akhbar Sin Chew ada membuat video menarik menganalisis beberapa contoh.

 

Untuk pinjaman 30 tahun sebanyak RM270,000 apabila kadar faedah pinjaman meningkat daripada 4.5% kepada 4.75%, bayaran gadai janji bulanan akan meningkat sebanyak RM40.

 

Di bawah syarat yang sama, bagi pinjaman sebanyak RM450,000 bayaran gadai janji bulanan akan meningkat sebanyak RM67.

 

Walaupun jumlah bulanan tidaklah begitu besar tetapi bayaran sekurang-kurangnya RM500 setahun, adalah membebankan kepada mereka yang sedang bergelut untuk hidup.


 

parafrasa

 


Selain pinjaman perumahan turut terjejas adalah pinjaman kereta baharu dan pinjaman kereta kadar terapung serta lain-lain pinjaman peribadi dengan bayaran bulanan yang meningkat.

 

Begitu juga, kenaikan kadar faedah akan memperlahankan ekonomi negara secara relatifnya. Ini kerana kenaikan faedah pinjaman akan menyebabkan perusahaan mengurangkan pelaburan. Keadaan ini memberi kesan dan tahap yang berbeza kepada setiap orang.

 

Bagi kebanyakan pekerja bergaji, kesan akan ditunjukkan dalam pengurangan dalam kenaikan gaji dan bonus. Bagi pendatang baru dalam dunia pekerjaan, impaknya adalah lebih sukar untuk mencari pekerjaan.

 

Manakala bagi pemilik perniagaan dan mereka yang bekerja sendiri, ia bergantung kepada sensitiviti perniagaan mereka terhadap kitaran perniagaan.

 

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi kita yang memberangsangkan tahun lepas dan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun ini, menaikkan kadar faedah hanya akan menyejukkan sedikit ekonomi kita dan tidak akan menjerumuskan ke dalam kemelesetan.

 

‘Kebaikan’ kenaikan kadar

Dari segi kebaikan pula, BNM berkata kenaikan kadar adalah bertujuan untuk membendung inflasi.

 

Pada Mac tahun ini, kadar inflasi negara adalah 3.4% dan meramalkan kadar inflasi keseluruhan negara pada 2023 adalah antara 2.8% dan 3.8%.

 

Dengan mengandaikan bahawa dengan kenaikan kadar faedah pada bulan Mei, kadar inflasi negara turun kepada 2.8% menjelang akhir tahun ini.


 

parafrasa

 


Kemudian bandingkan dengan data pada bulan Mac, kadar inflasi akan turun sebanyak 0.6%. Berapa banyak sebenarnya yang terlibat dalam pengurangan inflasi sebanyak 0.6%?

 

Bagi keluarga dengan jumlah perbelanjaan bulanan RM6,000 tidak termasuk pinjaman perumahan, pengurangan inflasi sebanyak 0.6% akan diterjemahkan kepada simpanan bulanan sebanyak RM36.

 

Berbanding dengan peningkatan dalam bayaran gadai janji, pengurangan dalam perbelanjaan lain tidak mencukupi untuk menampung kenaikan bayaran pinjaman.

 

Oleh kerana corak perbelanjaan setiap orang adalah berbeza, tidak ada cara mudah untuk mengira jumlah wang yang boleh dijimatkan dengan menaikkan kadar faedah dan mengurangkan inflasi, melainkan jika kita menggunakan kadar inflasi rasmi secara langsung.

 

Penerimaan orang ramai berbeza

Secara umumnya, orang ramai lebih merasai keburukan menaikkan kadar faedah. Kerana secara langsung dan jelas dapat melihat peningkatan bayaran balik pinjaman bulanan mereka.

 

Tetapi faedah menaikkan kadar faedah, sama ada untuk mengurangkan inflasi atau memastikan kestabilan sistem kewangan dan simpanan BNM, bagi menyediakan ruang pemotongan kadar dalam kemelesetan seterusnya. Sukar bagi orang ramai membuat pertimbangan dan menilai.

 

Langkah menaikkan kadar faedah akan mempunyai tahap impak yang berbeza-beza terhadap setiap individu.


 

parafrasa

 


Pada masa yang sama, ia juga melibatkan pertukaran antara kepentingan jangka pendek, jangka sederhana dan panjang bagi keseluruhan ekonomi.

 

Jadi, kita biar sahaja BNM yang bebas dan profesional membuat keputusan. – DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 8-12 Mei 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags