KUALA LUMPUR 15 Jan - Inisiatif kerajaan seperti pelepasan cukai untuk pembeli rumah kali pertama yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025, kadar gadai janji yang stabil disokong kadar dasar semalaman (OPR) 3% diyakini menjadi perangsang kepada sektor hartanah pada tahun ini.
Bagaimanapun, peningkatan kos sara hidup, tekanan inflasi dan inventori tidak terjual yang tinggi terus menimbulkan cabaran untuk pemulihan pasaran.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank (HLIB), Lee Jim Leng berkata, pertunjuk positif menyerlahkan daya tahan sektor itu dalam mendepani kesukaran.
Beliau berkata, kemampuan kekal sebagai elemen utama dalam menentukan prospek masa depan sektor itu.
"Pada 2025, kami menjangkakan gaji yang lebih tinggi untuk kakitangan awam dan pengenalan gaji minimum yang lebih tinggi pada Februari 2025 akan meningkatkan pendapatan boleh guna, memangkin permintaan untuk hartanah di seluruh negara.
"Ini, ditambah dengan OPR semasa pada kadar 3% dan kadar gadai janji yang stabil, mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk kedua-dua pembeli rumah dan pelabur, menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Perasmian Siri Fokus Stratum Ke18 Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank, hari ini.
Beliau berkata, di HLIB pihaknya percaya, kadar pertumbuhan guna tenaga yang stabil dan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9% tahun ini, ekonomi kekal kukuh.
Katanya, penunjuk positif itu menyediakan keadaan yang sesuai untuk pertumbuhan yang mampan dan kitaran permintaan dan pelaburan yang baik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih luas.
Pada majlis itu, ahli panel berkongsi pandangan yang pelbagai tentang pasaran hartanah yang sedang berkembang, meliputi peralihan pasaran utama, pemacu permintaan, peluang pelaburan, trend pertumbuhan, potensi risiko, strategi untuk pemulihan pasaran dan kepentingan pembangunan berpaksikan komuniti.
Propek optimis sektor itu disokong oleh inisiatif kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2025, terutamanya pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk pembeli rumah kali pertama yang membeli hartanah berharga sehingga RM500,000, dan sehingga RM5,000 untuk rumah berharga antara RM500,000 dan RM750,000.
Inisiatif ini dijangka merangsang permintaan sambil membantu pemulihan pasaran dengan menjadikan pemilikan rumah boleh diakses dan menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com