10 finalis Malaysia Teacher Prize bakal bawa pulang RM50,000 | DagangNews Skip to main content

10 finalis Malaysia Teacher Prize bakal bawa pulang RM50,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Malaysia Teacher Prize yang julung kali diadakan pada tahun ini mengumumkan seramai 10 finalis guru sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini. 

 

Anugerah yang dianjurkan PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation adalah anugerah Global Teacher Prize edisi Malaysia yang pertama. Ia bertujuan untuk menghargai sumbangan cemerlang para guru dengan mengetengahkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat.

 

10 orang guru yang telah disenarai pendek akan terus bertanding untuk meraih hadiah utama Malaysia Teacher Prize, iaitu hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, manakala empat guru lain yang merupakan lima finalis teratas masing-masing menerima sebanyak RM5,000. 

 

Kesemua guru yang tersenarai dalam 10 finalis akan menjalani program pembangunan profesional untuk memahami dan mengembangkan impak mereka menjangkaui ruangan bilik darjah.

 

Malaysia Teacher Prize pertama ini telah menerima lebih daripada 800 permohonan dalam tempoh permohonan dari 10 Mei hingga 17 Julai 2022. 

 

Dari permohonan ini, 10 orang guru terbaik telah disenarai pendek panel juri yang terdiri daripada barisan ahli akademik, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, individu cemerlang dari organisasi korporat dan pendidikan dari seluruh negara. 

 

10 finalis ini telah dipilih berdasarkan amalan bilik darjah mereka yang inovatif, sumbangan mereka terhadap profesion perguruan dan komuniti mereka, cara penggunaan hadiah wang terbaik, dan kisah mereka sebagai seorang pendidik. 

 

Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong Malaysia Teacher Prize melalui PEMIMPIN GSL dan kerjasama ini memberi peluang mereka untuk menonjolkan dan meraikan usaha para guru di Malaysia. 

 

 

ytl
Datuk Kathleen Chew

 

 

"Malaysia Teacher Prize adalah antara pelbagai program yang kami taja untuk memperkasa  dan membina semula komuniti setempat, terutamanya mereka yang terkesan dalam tempoh pasca pandemik ini. Saya yakin bahawa 10 finalis ini akan terus memberi inspirasi kepada guru-guru lain di seluruh negara dengan kisah dan usaha mereka untuk meningkatkan kemenjadian murid,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL, Cheryl Ann Fernando pula berkata, kisah 10 finalis Malaysia Teacher Prize mengingatkan mereka tentang betapa pentingnya tugas harian yang dijalankan guru-guru di dalam bilik darjah untuk membawa perubahan dalam kehidupan anak murid mereka. 

 

 

ytl
Cheryl Ann Fernando

 

 

"Guru-guru ini telah melangkaui panggilan tugas mereka untuk memastikan setiap murid diberi peluang untuk memenuhi potensi mereka. Kami yakin bahawa individu-individu yang cemerlang ini akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada komuniti pengajar tetapi kepada negara kita secara keseluruhannya dengan semangat serta komitmen mereka kepada murid-murid dan masyarakat,” katanya. 

 

Majlis anugerah Malaysia Teacher Prize akan berlangsung pada 7 Oktober 2022. 10 finalis itu akan berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran mereka dalam persidangan Leaps of Knowledge pada 8 Oktober 2022 yang akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5 petang di JW Marriott, di sini. - DagangNews.com