KUALA LUMPUR 3 Julai – Troopers Innovation Sdn Bhd, platform padanan pekerjaan fleksibel utama Malaysia, mengumumkan kerjasama penting dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Memorandum Persefahaman (MoU) ini bertujuan mengubah landskap kerja gig di Malaysia dengan menggalakkan dan memudahkan sumbangan sukarela KWSP oleh pekerja gig melalui i-Saraan, meningkatkan keselamatan kewangan dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.
MoU ini telah ditandatangani oleh Joshua Tan, Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif Troopers dan Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, disaksikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Produk KWSP, Mohd Rodzi Abu Bakar dalam satu majlis di Menara KWSP, Kwasa Damansara.
Dalam inisiatif perintis ini, Troopers berjanji memudahkan sumbangan KWSP untuk lebih daripada 100 pekerja gig menjelang akhir tahun ini.
Komitmen ini menekankan dedikasi Troopers untuk memimpin dengan teladan menunjukkan faedah nyata sumbangan KWSP untuk pekerja gig.
Menurut Joshua, kerjasama dengan KWSP ini merupakan pencapaian penting dalam misi Troopers yang berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja gig di seluruh Malaysia.
"Dengan menggunakan teknologi, kami memudahkan proses sumbangan, menjadikannya lebih mudah untuk pekerja gig memastikan masa depan kewangan mereka. Kami berharap inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pekerja gig supaya memanfaatkan faedah ini.
"Selain itu, kami menyeru kerajaan memainkan peranan proaktif dalam menyokong kebajikan pekerja gig, tenaga kerja yang mewakili kira-kira 1.12 juta individu di Malaysia.
"Kami berhasrat bekerjasama dengan lebih banyak syarikat untuk mencari tenaga kerja fleksibel dan pekerja gig, memastikan kebajikan dan masa depan mereka dilindungi dan diberi kuasa.
"Matlamat kami adalah menyediakan peluang pertumbuhan, keselamatan, dan laluan kerjaya yang mampan, mewujudkan persekitaran inklusif di mana setiap pekerja gig dihargai,” kata beliau.
Awal tahun ini, kerajaan Malaysia mengumumkan rancangan membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pekerja Gig di Parlimen pada bulan Julai ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan suruhanjaya ini akan menumpukan kepada perlindungan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak, dan meningkatkan peluang kemajuan kerjaya untuk pekerja gig di negara ini.
Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dijangka memastikan pekerja gig menerima perlindungan dan faedah yang setara dengan pekerja formal di bawah undang-undang buruh Malaysia.
MoU antara Troopers dan KWSP menandakan komitmen bersama untuk meningkatkan keselamatan sosial bagi pekerja gig. Di bawah inisiatif ini, kedua-dua organisasi akan bekerjasama menggalakkan sumbangan sukarela dan menyelaraskan proses melalui platform Troopers, memastikan ia mesra pengguna dan cekap. - DagangNews.com