SERDANG 5 Mei – Seramai 100 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima sumbangan Aidilfitri yang ditaja oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Pelajar UPM pada 27 April 2022 anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).
Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Pelajar UPM bertemakan Mensyukuri Ramadan, Meraikan Aidilfitri itu merupakan program kerjasama antara SPE dan QSR dalam program misi agihan bantuan dan pemindahan ilmu kepada komuniti terutamanya keluarga asnaf dan pelajar yang kurang berkemampuan.
Penasihat majlis, Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed, yang merupakan pensyarah kanan SPE UPM berkata majlis itu mengambil keberkatan Ramadan bagi membolehkan pelajar asnaf menyambut Aidilfitri 2022 dengan penuh kesyukuran.
“Majlis yang diadakan itu selari dengan hasrat dan fokus kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, untuk menjaga kebajikan pelajar terutamanya asnaf,” katanya.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan Group CFO, QSR, Mohd. Khairul Izzad Mohammed Shamsuddin,
QSR dalam majlis itu telah memberikan sumbangan wang tunai kepada semua pelajar asnaf UPM yang hadir beserta set makanan KFC sebagai sajian berbuka puasa dengan jumlah keseluruhan lebih RM11,000.
Selain itu, pelajar juga turut menerima sumbangan senaskhah al-Quran tajaan Sifu Akaun PLT yang merupakan alumni UPM tahun 2002 bernilai lebih RM3,000. – DagangNews.com