JS-SEZ akan lonjak kemajuan ekonomi Malaysia-Singapura, menurut Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

JS-SEZ akan lonjak kemajuan ekonomi Malaysia-Singapura, menurut Amir Hamzah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan - Gambar BERNAMA
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Jan - Zon Ekonomi Khas JohorSingapura (JS-SEZ) adalah bukti visi bersama Malaysia dan Singapura dalam usaha saling melengkapi kelebihan negara untuk memacu kemajuan ekonomi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, JS-SEZ mewakili usaha kerjasama selama beberapa tahun antara Malaysia dan Singapura untuk menjajarkan dasar, memperkemas infrastruktur, dan mencipta persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan pelaburan.

 

“Saya berpandangan adalah penting untuk mengakui bahawa usaha ini bukanlah perkara yang berlaku dalam sekelip mata.

 

"Usaha ini melibatkan perkara yang menjadi tumpuan kedua-dua negara, membina keselarasan kerana perkara paling penting adalah menyelaraskan, bersetuju bahawa zon ini adalah sesuatu yang tidak mustahil.

 

“Oleh itu, memahami kerumitan untuk menjayakannya, di samping aspek pemudahan yang dapat kita lakukan, dan pemudahan itu mungkin dalam bentuk persetujuan berhubung keutamaan pelaburan yang perlu dilakukan. (Kami berusaha) supaya keselarasan itu dapat dicapai (supaya dapat membuka jalan) untuk peringkat seterusnya,” katanya dalam wawancara bersama Bloomberg yang dikendalikan Haslinda Amin baru-baru ini.

 

 

JS-SEZ

 

 

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya pada 7 Januari lepas.

 

JS-SEZ dijangka berperanan penting dalam memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan pada 2025, dengan zon itu diunjurkan menyumbang AS$26 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mencipta 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Amir Hamzah turut menekankan rekod prestasi Malaysia dalam pembangunan bakat, dengan merujuk kepada pertumbuhan sektor elektronik dan elektrik (E&E) sejak 1970-an sebagai contoh.

 

“Selama bertahun-tahun, kami telah menambah latihan TVET dan latihan tertiari. Ini telah mencipta penyediaan bakat yang mantap. Kini, kami berusaha memindahkan dari segi metodologi yang sama ke dalam metodologi JS-SEZ, dan kami menyediakan insentif untuk membolehkan pemudahan.

 

“Jadi, jika anda meneliti insentif pekerja berpengetahuan yang telah kami sediakan, (seperti) kadar cukai lebih rendah untuk menarik pekerja berpengetahuan datang ke Malaysia, ini akan memudahkan pertumbuhan dipercepatkan sepanjang usaha ini,” katanya.

 

JS-SEZ dizonkan secara strategik untuk menumpukan kepada sektor seperti logistik, pembuatan, perkhidmatan digital, rekreasi, dan pelancongan dengan insentif khusus untuk menarik pelaburan yang disasarkan serta menyatukan ekosistem untuk memaksimumkan impak ekonomi.

 

Amir Hamzah juga berkata infrastruktur Malaysia yang dipertingkatkan, termasuk peningkatan kesalinghubungan jalan raya dan kereta api di samping projek Sistem Rapid Transit (RTS) yang sedang dilaksanakan, akan menyokong pembangunan pesat dan integrasi zon ekonomi khas itu. - DagangNews.com