KUALA LUMPUR 11 Jan - Seramai 557 mahasiswa universiti tempatan menyertai GODAMLah! Hackathon anjuran Datasonic Group Bhd yang menyasar untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri dengan memberi peluang kepada peserta mencipta rumusan teknologi termaju.
GODAMLah! Hackathon yang juga merupakan sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Datasonic itu menampilkan 10 kumpulan teratas semasa acaea hackathon tersebut di Petaling Jaya, hari ini.
Pengarah Komunikasi Strategik Datasonic, Safia Zuleira Abu Hanifah dalam ucapannya menekankan peranan GODAMLah! Hackathon sebagai sebuah platform penting bagi mahasiswa membentangkan inovasi dan rumusan mereka bagi menyelesaikan masalah berkaitan industri teknologi.
“Ini mengukuhkan lagi komitmen Datasonic dalam memperkasakan pemimpin digital generasi akan datang dengan mengintegrasikan kerjasama industri-akademik dalam memacu pembangunan negara.
“Di Datasonic, kami percaya dalam mewujudkan peluang bagi pelajar mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam projek yang mengukuhkan lagi kemahiran praktikal.
“Dengan melibatkan diri dengan universiti tempatan, kami berharap program ini dapat memberi inspirasi dan memperkasakan inovator muda menjadi penyumbang aktif kepada ekonomi digital Malaysia,” kata beliau.
Selain itu, beliau juga berkata, hakathon tersebut adalah bukti potensi besar bakat muda negara.
“Dengan menyediakan mereka peluang berinovasi dan mencipta rumusan bagi masalah dunia sebenar, kami menyasarkan untuk memupuk generasi baharu pemimpin yang dilengkapi dengan kemahiran diperlukan dalam mengharungi cabaran era digital.
“GODAMLah! 2025 mencerminkan komitmen Datasonic yang tidak berbelah bahagi untuk memacu inovasi dan kemampanan seiring,” katanya.
Safia turut menekankan kepentingan hackathon dalam memupuk inovasi dan sasarannya untuk menyemarakkan semangat inovasi.
“Sejak beberapa bulan lalu, inisiatif ini telah berjaya mengumpul pelajar, mentor dan pakar industri untuk meneroka dan membangunkan rumusan teknologi bagi menyelesaikan cabaran hari ini.
“Dengan memanfaatkan teknologi termaju seperti analisis data dan perkhidmatan digital optimum, setiap projek yang dibentangkan di sini adalah satu langkah ke arah masa depan yang lebih maju dan mampan,” jelasnya.
Sepanjang acara itu, peserta diberi peluang untuk dibimbing oleh pakar industri teknologi daripada pasukan penyelidikan dan pembangunan Datasonic, yang memberikan pandangan dan panduan bagi mempertingkatkan projek mereka.
Datasonic juga menganjurkan satu siri bengkel dan sesi rangkaian bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah peserta, serta memastikan pengalaman pembelajaran holistik.
Sesi ini merangkumi bidang kritikal seperti pengurusan projek, pemikiran reka bentuk dan matlamat pembangunan mampan (SDG). - DagangNews.com