10,000 pekerja perkayuan, perabot di Selangor akan divaksin di Olak Lempit | DagangNews Skip to main content

10,000 pekerja perkayuan, perabot di Selangor akan divaksin di Olak Lempit

PUTRAJAYA 3 Ogos - Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot di sekitar Selangor akan divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PPVIN MTC@Olak Lempit merupakan PPVIN kedua yang beroperasi selepas PPVIN Ladang Tennamaram dibuka pada 26 Julai 2021. 

 

Menurutnya, PPVIN MTC@Olak Lempit itu dilaksanakan di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang telah memulakan operasinya pada 28 Julai 2021 dan berakhir pada 4 September 2021.

 

Beliau berkata, operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang mempunyai kekangan tersendiri.

 

Katanya, seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, buat masa ini vaksinasi secara ‘walk in’ bagi bukan warga negara hanya akan dibuat di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja bermula 9 Ogos hingga 22 Ogos 2021 dan mereka tidak dibenarkan untuk hadir di mana-mana PPV Awam.

 

"Dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di 
lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF). 

 

"Untuk program ini, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah memberi subsidi sebanyak RM30 untuk setiap pekerja dan kakitangan industri terlibat," katanya dalam kenyataan media selepas melawat PPVIN MTC@Olak Lempit hari ini.

 

Dr. Mohd Khairuddin berkata, bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut.

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
                      Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

 

Katanya, pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF. 

 

"Pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak. Caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100.

 

"KPPK menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN 
adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF," katanya. - DagangNews.com