10,409 warga TNB bertugas pastikan bekalan kekal stabil sepanjang Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

10,409 warga TNB bertugas pastikan bekalan kekal stabil sepanjang Aidilfitri

Penaung PELITAWANIS TNB, Datin Seri Noraini Abdullah (kanan) bersama Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Noor Aizah Abd Karim (dua, kiri) menyerahkan Bingkisan Kuih Raya kepada pemandu, Hassan Ngah Osman bagi pengagihan bingkisan ke stesen-stesen yang terlibat, di perkarangan lobi Ibu Pejabat TNB Bangsar pada 3 Mei 2021. Turut hadir, Pengerusi TNB, Dato’ Seri Mahdzir Khalid (dua, kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kiri).

 

KUALA LUMPUR 9 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan amanahnya dalam menjamin bekalan elektrik sempurna kepada pengguna dengan meletakkan 10,409 warga kerjanya bertugas atau dalam keadaan tunggu sedia di sektor yang kritikal sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

 

“Pada waktu perayaan yang besar seperti Aidilfitri, anggota kerja TNB sekali lagi meneruskan tugas memastikan bekalan elektrik yang berterusan demi kebaikan masyarakat secara menyeluruh,” kata Pengerusi TNB, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

 

“Warga kerja TNB bertugas tatkala orang lain menyambut perayaan di rumah bersama keluarga. Ini sebahagian pengorbanan amat hebat yang saya amati sepanjang setahun berkhidmat sebagai Pengerusi TNB.”

 

Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan bingkisan kuih raya yang disediakan Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) kepada warga kerja TNB di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar, pada 3 Mei lalu.

 

PELITAWANIS TNB menyiapkan sebanyak 10,409 pek bingkisan kuih raya untuk diagihkan kepada warga kerja TNB yang bakal bertugas dan tunggu sedia di Semenanjung dan Sabah pada 1 Syawal kelak.

 

Tradisi penyediaan dan pembungkusan bingkisan raya telah dilakukan TNB melalui PELITAWANIS sejak tahun 2005, sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan bekalan elektrik kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri, khususnya ketika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

 

TNB
YDP PELITAWANIS TNB, Datin Noor Aizah Abd Karim (tengah) bersama Timbalan, Datin Nur Haizan Zainuddin (kiri) dan Datin Wira Ungku Ashiela Ungku Hamzah (kanan) melihat Bingkisan Kuih Raya 2021 yang akan diagihkan kepada warga kerja TNB dan anak syarikat yang bertugas atau tunggu sedia pada 1 Syawal kelak, di Dewan Serbaguna TNB Bangsar pada 21 April lalu.

 

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Baharin Din berkata, tradisi selama 17 tahun ini diharapkan dapat memberi keceriaan kepada anggota kerja yang bertugas.

 

“Kelangsungan pembekalan elektrik di negara ini didukung oleh khidmat bakti anggota kerja, baik di barisan hadapan mahu pun mereka yang menyokong di belakang.”

 

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk terus memastikan amalan keselamatan elektrik dipatuhi sepanjang persiapan hari raya dan Syawal. - DagangNews.com