11 Oktober 2021, tarikh tutup pemegang saham IJM Plantations terima tawaran KLK | DagangNews Skip to main content

11 Oktober 2021, tarikh tutup pemegang saham IJM Plantations terima tawaran KLK

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Pemegang ekuiti IJM Plantations Berhad (IJMP) diberi tempoh sehingga 11 Oktober 2021 untuk mengemukakan jawapan mereka berhubung tawaran pengambilalihan saham berwajib oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

 

Perkara itu dimaklumkan oleh RHB Investment Bank Berhad yang mewakili KLK, kepada Bursa Malaysia, hari ini. 

 

Dalam makluman tersebut, KLK dan pihak yang bertindak bersama (PAC) memegang 57.62% kepentingan ekuiti atau 507.41 juta saham setakat 13 September lalu. 

 

“Penerimaan tawaran ini perlu dihantar pada 5 petang pada atau sebelum Isnin, 11 Oktober 2021, sebagai tarikh tutup pertama tawaran tersebut atau tarikh lain yang pihak memberi tawaran (KLK) mungkin putuskan atau diumumkan kemudian oleh RHB Investment Bank mewakili KLK, sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh tutup itu. 

 

“Tertakluk kepada syarat-syarat Perundangan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Berwajib yang diterbitkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta terma dan syarat dokumen tawaran, KLK boleh melanjutkan tarikh dan masa penerimaan tawaran itu melebihi tarikh tutup pertama,” jelas makluman tersebut.

 

Pada 9 Jun lalu, KLK membuat tawaran kepada IJM Corporation Berhad untuk mengambil alih semua pemilikan ekuiti di dalam IJMP mewakili 56.20% kepentingan pada nilai RM1,534.08 juta. 

 

Sekitar dua hari selepas itu, KLK dan IJM Corporation telah memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) untuk mengambil alih kepentingan itu pada kadar RM3.10 sesaham, yang kemudiannya diselesaikan pada 6 September lalu.

 

Baca : Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan

 

KLK menerusi anak syarikat milik penuhnya, Quarry Lane Sdn Bhd (QLSB) telah mengambil alih 3.29 juta saham IJMP dari pasaran terbuka yang mewakili 0.37% kepentingan ekuiti. 

 

Baca : KLK buat tawaran pengambilalihan berwajib baki saham IJM Plantations 

 

Setakat 12.07 tengah hari, harga saham IJMP tidak berubah pada kadar RM3.09, sementara harga saham KLK pula menyusut 34 sen kepada RM19.90 setakat 12.08 tengah hari. - DagangNews.com