13 syarikat swasta dalam industri padi beras negara sertai MAFI Prihatin | DagangNews Skip to main content

13 syarikat swasta dalam industri padi beras negara sertai MAFI Prihatin

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan untuk disalurkan kepada golongan sasar melalui program MAFI Prihatin.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, penglibatan pihak swasta itu adalah selaras dengan pendekatan whole-of-nation dalam  usaha negara memerangi pandemik COVID-19.

 

Menurut MAFI, barangan keperluan harian yang disumbangkan termasuk beras, minyak, gula, pelitup muka dan lain-lain dengan nilai keseluruhan sebanyak RM205,400. 

 

"Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn. Bhd.," jelas MAFI dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani, hari ini. 

 

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

 

Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak bulan Januari 2021 yang bertujuan untuk membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disamping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

 

Bantuan itu juga telah diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.

 

Sejak 1 Jun hingga 18 Julai 2021, sebanyak 59,816 orang penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin melalui 264 program anjuran MAFI di seluruh negara yang telah melibatkan nilai bantuan sebanyak RM 5.2 juta. - DagangNews.com