KUALA LUMPUR 14 Sept. - Sebanyak 1,400 maklumat peribadi rakyat Malaysia antara 2.4 juta data individu di seluruh dunia yang ‘bocor’ daripada syarikat Zhenhua Data di daerah Shenzen yang dipercayai digunakan oleh perisikan Kementerian Sekuriti Negeri, di China.
Bagaimanapun, maklumat 1,400 rakyat itu merupakan data yang berjaya ditemukan semula oleh perunding keselamatan siber di Canberra, Internet 2.0 daripada 250,000 data lain dan jumlah sebenar yang ‘bocor’ tidak diketahui.
Maklumat yang dikumpulkan itu termasuk tarikh lahir, alamat, status perkahwinan, gambar, penglibatan politik, keluarga dan maklumat media sosial, seperti dilaporkan Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Menerusi laporan The Guardian pula, data itu melibatkan ahli politik seperti Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison serta ahli keluarga mereka, keluarga Diraja, selebriti dan tokoh ketenteraan.
Pangkalan data itu turut didedahkan kepada ahli pendidikan Amerika Syarikat (AS), Christopher Balding yang sebelum ini pernah berkhidmat di Shenzen tetapi kembali semula ke negara asal atas sebab keselamatan.
Susulan penerimaan data berkenaan, beliau kongsikannya kepada Internet 2.0 untuk tujuan analisis dan bagi memulihkannya.
Balding menerusi kenyataannya berkata, pangkalan data itu diwujudkan daripada pelbagai sumber dan rumit dari segi teknikal kerana menggunakan bahasa, sasaran dan alatan klasifikasi yang canggih.
Jelasnya, data itu menyasarkan individu dan institusi berpengaruh dalam pelbagai industri.
“Dari politik hingga jenayah yang dirancang atau teknologi dan ahli akademik, pangkalan data itu disalurkan daripada pelbagai sektor yang diketahui oleh China dan syarikat berkaitan,” katanya seperti dipetik The Guardian. - DagangNews.com